Pada 20 Januari
2014, UKM akan menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Seketariat Timbalan-Timbalan
Naib Canselor/ Timbalan Rektor (HEPA) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ke
189. Mesyuarat ini akan dihadiri oleh semua TNC HEPA seluruh IPTA di Malaysia
bersama-sama wakil daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. PMUKM menyambut
baik kehadiran seluruh perwakilan tersebut serta berharap mesyuarat tersebut
akan berjalan dengan lancar.
PMUKM menegaskan agar mesyuarat tersebut tidak lari daripada fokus utama
dalam membincangkan hal ehwal pelajar di
IPTA. Dakwaan bahawa mesyuarat tersebut hanya membincangkan soal menghalang
kegiatan pimpinan mahasiswa bukan pilihan HEPA dan soal strategi-strategi
campur tangan dalam urus tadbir pimpinan mahasiwa selama ini diharap tidak
benar.
Agenda utama yang perlu dibincangkan dalam mesyuarat ini seharusnya
berkenaan kegiatan aktiviti pelajar yang menjamin kompetensi dan kehendak
industri. Lambakan program di dalam universiti perlu diteliti kerana terlalu
banyak program warisan yang tidak memberikan impak dalam proses pembinaan
sahsiah pelajar. Apabila dikaji dan diselidik semula, majoriti program-program
berbentuk warisan ini hanya membazir kewangan serta keringat. Sumber-sumber
kewangan yang ada seharusnya dilaburkan kepada kegiatan aktiviti pelajar yang
bersifat “self-govern” dan setaraf dengan aktivisme mahasiswa sedunia.
PMUKM berpandangan adanya beberapa isu kebajikan mahasiswa yang
lebih penting untuk dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. Antaranya ialah isu
yuran universiti yang dijangka akan meningkat pada sesi akan datang. Perkara
ini tidak dapat dinafikan berikutan dengan kos sara hidup yang semakin
meningkat. PMUKM melihat kenaikan yuran ini akan menganggu perbelanjaan harian
mahasiswa/I terutama mahasiswa yang bergantung kepada pinjaman. Selain itu, isu
kenaikan harga makanan di dalam kampus yang menjadi bualan hangat dalam
kalangan mahasiswa perlu dititik beratkan.
PMUKM mengharapkan agar hasil daripada mesyuarat ini, dapat memberi
solusi yang baik terhadap isu-isu mahasiswa tersebut. PMUKM mencadangkan agar perancangan
kawalan harga makanan di seluruh IPTA perlu dijalankan dan dikuatkuasakan
dengan segera bagi membanteras sebarang kenaikan harga makanan secara mendadak
di dalam kampus. Selain itu, sekiranya benar berlaku kenaikan yuran universiti,
PMUKM menyarankan kepada pihak pengurusan Universiti agar menyediakan “Blue
Print” dalam peningkatan penyediaan kemudahan pelajar atas kenaikan yuran tersebut.
Namun, adalah lebih baik sekiranya yuran tersebut mampu dikekalkan.
PMUKM akan mengaturkan perjumpaan bersama TNC HEPA UKM, Prof. Dato’
Ir. Othman A. Karim sejurus selepas mesyuarat tersebut selesai bagi mendapatkan
maklumat-maklumat penting berkenaan isu mahasiswa yang perlu ditangani dengan
segera. Justeru, PMUKM mengajak seluruh Presiden/YDP Persatuan Mahasiswa/Majlis
Perwakilan Pelajar IPTA agar segera bertemu dengan TNC HEPA masing-masing bagi
mendapatkan respon mereka.