Jumaat, Januari 07, 2011

Isu Kolej Ungku Omar


GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM) menerima beberapa buah aduan daripada penghuni Kolej Ungku Omar khususnya sejak kebelakangan ini sehingga menganggu aktiviti penghuni Kolej Ungku Omar.

Gabungan Mahasiswa turut mendapati isu ini ada dibincangkan di laman sosial 'Facebook.' Malah tragiknya apabila diberitakan salah seorang siswi telah terjatuh malam semalam ke dalam sebuah longkang yang agak dalam akibat lampu yang tidak berfungsi.

Gabungan Mahasiswa cuba mendapatkan maklum balas daripada rakan-rakan mahasiswa lain yang menetap di Kolej Ungku Omar. Antara komen yang diperolehi, walaupun ramai di kalangan mereka telah membuat laporan berkenaan isu yang disebut di atas, tetapi malangnya tiada tindakan diambil.

Seorang siswi yang hanya mahu dikenali sebagai Siti yang menghuni blok K8X berkata, beliau acapkali terpaksa pulang awal ke bilik beliau dan tidak keluar malam selepas itu kerana takut walaupun terpaksa menyelesaikan tugasan penting di luar.Bagi beliau di situ timbul dua isu iaitu keselamatan diri dan penjagaan diri daripada orang tidak dikenali.

Tambah beliau, beliau dan rakan-rakan blok K8X pernah melaporkan masalah lampu bawah koridor yang tidak berfungsi tetapi sehingga sekarang masih tidak mendapat sebarang respon.

"Ada sekali tu, saya terpaksa pulang agak lewat, (sekitar) pukul 9 (malam) lebih. Saya nampak ada beberapa (orang) lelaki sedang berbual di tempat letak motosikal. Bila saya (hendak) naik ke bilik, saya nampak diaorang terdiam dan menjeling dekat saya. (Lantas) saya cepat-cepat (berjalan masuk) ke bilik.

" Sejak hari itu, saya jarang hendak keluar malam. Kalau perlu sangat-sangat, baru saya keluar. Itu pun dengan kawan-kawan," tambah beliau lagi.

Perihal ini turut diulas oleh seorang mahasiswa tahun 3 yang hanya mahu dikenali sebagai Ji, yang menetap di blok K7C berkata mereka pula kerap mengalami masalah keputusan air di blok K7C dan K7D.

" Sudah berbuih mulut kami buat 'report' . Tak cukup dengan isi Borang Laporan, kami buat surat rasmi bantahan dengan tandatangan rakan-rakan. Tetapi (pihak) pentadbiran (kolej) senyap sahaja.

" Kami sudah 'plan' nak buat surat layang pada media luar, tapi fikir-fikir (ini) akan burukkan (nama) universiti pula."

Gabungan Mahasiswa dalam mendepani permasalahan ini telah berjumpa Pembantu Pejabat Am Kanan, Puan Naaimah Hassan. Beliau berkata masalah ini timbul apabila pihak pentadbiran kolej terpaksa menukar beberapa kali kontraktor penyelenggaran. Malahan sehingga kini pihak pentadbiran belum melantik kontraktor yang tetap bagi kerja-kerja penyelenggaraan elektrik dan awam di kolej. Justeru beliau meminta para penghuni bersabar dan menunggu masalah kontraktor ini diselesaikan oleh Pengetua Kolej, PM Dr Samsu Adabi.

Gabungan Mahasiswa selaku badan kebajikan yang bertindak di atas permasalahan mahasiswa-mahasiswi UKM mengharapkan pihak-pihak berkenaan mengambil langkah sewajarnya dalam masa terdekat. Gabungan Mahasiswa juga mengharapkan tidak wujud sebarang karenah birokrasi yang akhirnya akan memburukkan nama universiti. Gabungan Mahasiswa dalam pada itu mengharapkan lagi maklum balas daripada teman-teman mahasiswa khususnya dari kolej-kolej yang bermasalah seperti yang dihadapi penghuni Kolej Ungku Omar ini.

Untuk rekod, Kolej Ungku Omar mula dibina pada 23 Jun 1976 dan telah siap pada 7 Januari 1978 dengan menelan belanja dalam RM 7 juta dengan keluasan anggaran 220 kaki persegi. Kolej Ungku Omar mempunyai 4 blok asrama, 22 blok pangsiswa dan 3 blok pangsarama yang mampu menempatkan seramai 1024 orang pelajar.

Sumber : Blog GMUKM