KENYATAAN RASMI MPP GMUKM
2011 : Lembaran Baru PMUKM
Tarikh : 01 Januari 2011
MPP Gabungan Mahasiswa UKM (MPP GMUKM) berbesar hati ingin mengucapkan selamat tahun baru 2011 kepada semua warga di IPT-IPT khususnya buat teman-teman mahasiswa UKM.
Apa yang diharapkan, dengan gagasan 'REALISASI VARSITI' dan tagline ringkas, "Ber-GM Lebih Baik!" yang amat signifikan dengan apa yang kita ingin tawarkan kepada teman-teman mahasiswa pada sesi kali ini maka teman-teman sekalian bersedia dan beriltizam dalam melakukan perubahan ke atas sejarah Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM)
Tahun 2011; kita secara dasarnya bersedia menawarkan kuasa perubahan kepada rakan-rakan mahasiswa dan menolak sebarang tindakan mahupun istilah 'ekslusif' dalam pentadbiran PMUKM sekiranya Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) diberikan mandat dalam pilihanraya kampus kali ini.
Tahun 2011 : Lembaran Baru PMUKM
Secara jelasnya apa yang setakat ini dipersetujui, di peringkat Majlis Tertinggi telah meletakkan tahun 2011 Gabungan Mahasiswa UKM secara pasti dan yakin dengan izin Ilahi akan mampu menawan majoriti hati-hati warga kampus UKM dan dijelmakan dengan kemenangan GMUKM di dalam pilihanraya kampus pada sesi kali ini.
Ini didasari dengan fakta bahawa dalam pilihanraya kampus (PRK) pada sesi lepas, kita menyaksikan dengan jelas warga UKM khususnya di Kampus Cheras dan KL semakin berani berubah dengan memberi mandat kepada Gabungan Mahasiswa apabila kerusi-kerusi di sana bertambah kepada lima (5) buah berbanding dua (2) pada tahun sebelumnya.
Manakala di kampus utama Bangi, analisa kita menunjukkan warga di fakulti-fakulti bagi kursus profesional seperti Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina(FKAB) dan Fakulti Undang-Undang (FUU) bersedia mengekalkan kemenangan calon Gabungan Mahasiswa sebelum ini setelah melihatkan prestasi MPP GMUKM jelas memberangsangkan.
Kempen 'Tawan Hati (TH)'
Justeru, Gabungan Mahasiswa UKM dalam masa terdekat ini akan melancarkan kempen 'Tawan Hati' warga fakulti-fakulti yang lain pula. Methodologi dan sumbang-saran kaedah kempen ini akan dimulakan dengan 'Sidang Meja Bulat' Majlis Tertinggi GMUKM yang dijalankan pada esok hari, 2 Januari 2011 dengan pembentangan beberapa buah kertas kerja daripada pimpinan Pro-M Nasional. Resolusi daripada sesi 'brainstorming' ini bakal dihebahkan kepada rakan-rakan mahasiswa seusai tamat majlis ini nanti.
Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dalam pada itu ingin menerangkan kembali prinsip kita yang menggabungkan kumpulan-kumpulan yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama iaitu menawarkan pengurusan dan pentadbiran PMUKM yang lebih telus dan dinamik. Gabungan Mahasiswa juga telah bersiap-siaga menawarkan calon-calon yang teguh mewakili suara-suara mahasiswa untuk dibawa ke peringkat atasan demi kepentingan dan kesejahteraan rakan-rakan mahasiswa UKM dan tidak mudah melatah diprovokasi pihak atasan.
Tahun 2011 : Harapan Baru
Mengakhiri kalam, kita mengharapkan tahun 2011 bakal mencipta harapan baru serta mencipta satu lembaran sejarah yang baru kepada politik kampus UKM . Kita juga mengharapkan tiada lagi penindasan oleh sistem-sistem universiti yang bersifat mengekang kemandirian mahasiswa. Ingatlah, mahasiswa UKM tidak bersedia menjadi buah-buah catur atau dijadikan boneka oleh sistem.
REALISASI VARSITI