Khamis, Januari 06, 2011

MPP Ili : Penjelasan awal Subjek HHHC 9118

Sumber : Blog MPP Ili

Seperti semua telah sedia maklum, pada 4 Januari 2010, Selasa lepas, satu taklimat subjek ko-kurikulum baru, HHHC9118 telah diadakan di Bilik Senat, Bangunan Canselori yang dihadiri oleh ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan JAKSA Kolej Kediaman. Taklimat ini bukan sahaja bertujuan untuk memberi penerangan awal kepada pemimpin pelajar tentang subjek baru ini malah bertujuan untuk berkongsi pendapat dari sudut pandang pelajar tentang perlaksanaan subjek ko-k ini sebelum ia dijalankan. Dato' Hassan Basri menjelaskan bahawa pihak Senat telah meluluskan perlaksanaan HHHC 9118 ini secara konseptual, maka perlaksanaannya memerlukan perubahan sedikit demi sedikit bergantung kepada respons pelajar dan warga UKM dalam usaha mewujudkan kaedah perlaksanaan yang terbaik kepada para pelajar.

Di dalam taklimat tersebut disebut pada tanggal 2 Disember 2010 juga secara rasmi berlaku penstrukturan semula oleh Lembaga Pengarah UKM (LPU) yang memindahkan Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) di bawah TNC Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, dan mewujudkan sistem pengiktirafan aktiviti mahasiswa di bawah PPP.

Subjek ko-kurikulum ini tiada kuliah dan tiada peperiksaan namun penilaian akan turut berlaku melalui program-program yang dijalankan. Pangkalan data atas talian bagi penyimpanan data 'Learning Contract' ini akan turut diwujudkan untuk penilaian kompetensi generik pelajar.

Perlaksanaan SPKG dan HX dimansuhkan dan perlaksanaan subjek HHHC 9118 merupakan langkah baru yang bersifat aktiviti pemacu kendiri (self-driven) oleh pelajar sendiri, "Dari pelajar kepada Pelajar." Perlaksanaannya dilakukan untuk memberi keseimbangan kepada pengitirafan aktiviti-aktiviti yang dilakukan, tidak tertumpu kepada pihak kolej sahaja dan tidak membebankan pihak kolej. Aktiviti-aktiviti di peringkat kolej, fakulti, pusat-pusat malah aktiviti luar turut boleh mendapat pengiktirafan sebagai aktiviti penilaian bagi subjek ini.

Subjek yang berasaskan Kontrak Pembelajaran ini mempunyai 8 domain of Learning Outcome dan memerlukan 8 unit(40 jam/unit) iaitu 320 notional hours untuk dilengkapkan. Jumlah unit ini boleh didapatkan secara kumulatif yang mana pelajar boleh mendapatkan inisiatif untuk terlibat dengan program-program yang diiktiraf subjek HHHC 9118 sepanjang tahun pengajian di UKM sebelum mendapatkan ijazah.

Antara syarat yang diperlukan bagi sesuatu projek diiktiraf sebagai projek penilaian subjek ini adalah kertas kerja yang dihantar untuk kelulusan perlu disertai dengan dokumen 'Kontrak Pembelajaran' yang dilengkapkan. selain itu, penyelia/penasihat program tidak tertakluk kepada felo atau pensyarah sahaja malah pelajar boleh mengambil pegawai-pegawai UKM dan pihak luar yang diiktiraf PPP bagi menjadi penasihat projek.

Subjek ini juga lebih bersifat bottom-out dan bukan top-down semata-mata yang mana ia lebih tertumpu kepada pelajar untuk mengilham dan melaksanakan projek mereka sendiri yang bercirikan antara 8 domain yang ditetapkan, tidak tertakluk kepada perlaksanaan projek atas arahan pentadbiran semata-mata.

Pelajar tahun 2 dan 3 yang masih belum melengkapkan 8 kredit kursus kokurikulum turut berpeluang mendaftar subjek HHHC9118 ini bagi melengkapkan jumlah unit kokurikulum yang selebihnya.

Pihak MPP Mahasiswa mengucapkan tahniah kepada Prof Dato' Ir. Dr Hassan Basri selaku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) di atas sifat keterbukaan beliau menangani permasalahan mahasiswa khususnya berkenaan isu ko-kurikulum yang baru dalam taklimat yang telah berjalan baru-baru ini. Inisiatif pertemuan dan taklimat kepada pihak pelajar di peringkat awal sebelum perlaksanaan subjek ini merupakan suatu langkah yang baik yang mana ia akan memberikan ruang kepada para pelajar untuk memberikan respons awal dan turut membantu pihak PPP di bawah TNC HEAA untuk menambah baik perlaksanaan subjek ini. Prof Dato' Ir. Dr Hassan Basri mengharapkan para pelajar memahami bahawa perlaksanaan ko-kurikulum ini masih di peringkat awal dan masih tidak sempurna, maka diharapkan semua pihak dapat memberi kerjasama dalam proses menambahbaik perlaksanaannya.

Meskipun taklimat yang akan dijalankan pada Jumaat ini (7 Januari 2010) di KTSN diwajibkan untuk pelajar tahun 1, saya menyarankan wakil pemimpin pelajar di peringkat kolej,fakulti: PMFSKB,PERSIAP,DENSTA dan PMFFAR serta pelajar tahun 2 & 3 dapat turut sama hadir kerana taklimat ini amat perlu bagi mendapatkan pemahaman tentang subjek ko-kurikulum baru ini, Kontrak Pembelajaran (Learning Contract) dan menjadi platform utama bagi anda bertanyakan soalan, memberi pendapat dan cadangan bagi penambahbaikan perlaksanaan program ini. Semoga usaha murni pihak TNC HEAA dan PPP ini mewujudkan persefahaman antara pihak pentadbiran dan para pelajar. Pastikan anda hadir ke taklimat subjek HHHC 9118:

Tarikh : 7 Januari 2011 (Jumaat)
Masa : 8.00 Malam
Tempat : Dewan Serbaguna, KTSN
Ahli : Semua ahasiswa Tahun 1, KKL

Tarikh : 8 Januari 2011 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : DECTAR
Ahli : Semua Mahasiswa Tahun 1, Kampus Bangi

Mohon maaf atas segala kesilapan dalam penulisan penerangan tentang subjek ini dan anda amat dialu-alukan untuk mengajukan sebarang soalan dan cadangan berkenaan subjek ini kepada pihak TNC HEAA dan PPP semasa taklimat itu nanti. Sekian:)

Bersatu Berubah!