Rabu, November 09, 2011

Konvensyen Pemimpin Pelajar IPT 2011 di UTM

Kecemerlangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menjadi platform terbaik dalam membentuk kepimpinan mahasiswa yang unggul sekali lagi terserlah apabila telah dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menjadi tuan rumah bagi program Konvensyen Pemimpin Pelajar IPT 2011 yang akan berlangsung dari 10 hingga 13 November 2011.Program Konvensyen Pemimpin Pelajar IPT 2011 ini adalah merupakan kesinambungan bagi program tahunan sebelum ini yang pertama kalinya diadakan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) pada tahun 2009.


Program yang bakal menghimpunkan barisan pemimpin pelajar dari semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia yang mana terdiri daripara 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 28 buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) adalah bagi membincangkan isu-isu terkini yang melibatkan hala tuju dan masa depan pemimpin pelajar secara amnya. Tema “Membina Negara Bangsa” yang dipilih untuk program konvensyen pada kali ini amat bertepatan sekali dalam meneruskan survival “1 Malaysia” yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri kita, namun di lihat dari sisi pandangan seorang mahasiswa.

Perasmian bagi Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Kebangsaan ke-3 2011 ini akan dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato Dr. Ir. Zaini bin Ujang , Naib Canselor UTM pada 11 November 2011.

Manakala Penutup Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Kebangsaan Ke-3 2011 dirasmikan olehY.B. Dato’ Seri Khaled bin Nordin, Menteri Pengajian Tinggi pada 13 November 2011 di Dewan Sultan Iskandar, UTM.

Manakala peserta yang dianggarkan mengambil bahagian dalam konvensyen ini ialah 650 orang. Program ini adalah berbentuk konvensyen di mana pengisiannya terdiri daripada forum, perbincangan, sidang pleno dan lain-lain. Antara nama-nama besar yang dijangka akan turut tampil dalam forum-forum tersebut ialah bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim Abu Shah, Prof. Dr. Azali Mohammed, Y.B. Dato Saiffudin Abdullah, En. Johan Jaafar, Senator Datuk Idris Jala dan ramai lagi tokoh-tokoh negara dijangka tampil bagi memeriahkan lagi konvensyen ini.

Forum-forum yang dianjurkan turut mengetengahkan isu-isu dalam memastikan suara mahasiswa tidak lagi dipadang enteng, namun di lihat sebagai rakan strategik dalam memacu kecemerlangan negara ke arah yang lebih baik. Tajuk-tajuk seperti “Peranan Orang Muda dalam Kualiti dan Membaiki Ekonomi Negara”, Ke Mana Hala Tuju Orang Muda, dan Intipati Ke Arah Membina Negara Bangsa dijangka akan menghangatkan lagi percambahan idea –idea yang bernas ketika forum bersidang.

Program yang berlangsung selama 4 hari dan akan bermula dari pukul 8:00 pagi hingga 12:00 tengah malam. Jawatankuasa bagi program ini adalah terdiri daripada barisan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Perwakilan Pelajar IPT lain seluruh Malaysia. Semoga matlamat penganjuran program ini dapat dicapai melalui penglibatan semua pihak.


NURUL SAHRINA BINTI JAMALI,
Ketua Unit,
Jawatankuasa Promosi & Publisiti,
Konvensyen Pemimpin Pelajar IPT 2011.