Khamis, Mac 04, 2010

MPP dampingi kanak-kanak istimewa



Bangi, 3 Mac- Hari Terbuka Pendidikan Khas 2010 yang bertemakan 'Anak Istimewa Inspirasi Bersama' telah diadakan bertempat di Kompleks PKNS Bangi dan melibatkan kira-kira 30 orang kanak-kanak berkeperluan khas dari SK KLIA. Penganjur pula terdiri daripada mahasiswa/i thn 3 jurusan Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan UKM.

Hari Terbuka selama sehari ini mendapat perhatian MPP Mahasiswa yang meluangkan masa berdamping dengan kanak-kanak berkeperluan khas menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan. Kewujudan booth-booth pameran juga membolehkan para pengunjung mendapatkan pelbagai informasi berkaitan kanak-kanak berkeperluan khas.



MPP Umum, Alia Suzana Asri yang ditemui berkata, program ini dilihat mampu menjadi medium untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap golongan istimewa ini.

"Tahniah kepada pihak penganjur. Program sebegini harus digiatkan kerana masyarakat dilihat kurang memberi perhatian terhadap pembangunan insan berkeperluan khas. Sokongan dan dokongan harus diberikan kepada mereka kerana kanak-kanak ini mempunyai potensi yang tersendiri dan mampu menyumbang kepada masyarakat." katanya lagi.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan dalam program ini ialah senamrobik, sukaneka, i-talk, slot membaca al-fatihah dan lain-lain lagi.