Jumaat, Mac 19, 2010

MPP Mahasiswa Tumpu OKU


Bangi, 19 Mac


MPP Umum, Alia Suzana Asri telah bertemu dengan Pengarah Pusat Pembangunan Akademik (PPA), Prof. Riza Atiq Rahmat dan berbincang mengenai penambahbaikan prasarana mesra OKU di UKM. Penambahbaikan ini adalah tindakan lanjutan dari laporan penilaian prasarana golongan kelainan upaya yang dijalankan pada tahun lepas oleh para pelajar UKM dari semua fakulti. Pihak PPA telah membentangkan hasil laporan tersebut dalam Mesyuarat Ketua-ketua Bahagian (MKB) dan diambil tindakan oleh Jabatan Pengurusan Pembangunan (JPP) dengan menyediakan 'ramp' di tempat-tempat tumpuan awam seperti Canselori.Walaubagaimanapun, penambahbaikan di kawasan lain terpaksa ditangguh akibat kewangan yang terhad.

Kini PPA dalam proses merangka kertas kerja untuk mengadakan dasar baru bagi kebolehsampaian dan rekabentuk prasarana yang optimum di UKM. Prasarana ini meliputi kesemua orang, termasuk golongan wanita hamil dan yang mengalami kecederaan sementara agar bersesuaian dengan keadaan fizikal mereka. Dasar ini dijangka dapat diluluskan dalam tempoh 5 bulan setelah melalui beberapa proses perbincangan dan pindaan dengan pihak Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) dan MKB. "Kita perlu kepada penglibatan kesemua warga kampus terutamanya Dekan-dekan dan pengarah di setiap fakulti agar sedar tentang kepentingan kemudahan ini dan bertanggungjawab terhadapnya sebelum mampu dilaksanakan secara menyeluruh", ulas Prof. Riza Atiq Rahmat berkenaan pelaksanaan dasar tersebut. Menurut beliau, jika dasar ini berjaya dibentuk, peruntukan khas akan diperoleh dari kerajaan pusat agar kerja-kerja penambahbaikan dapat dilakukan dengan segera.

MPP Umum, Alia Suzana Asri menyerahkan hasil laporan berkenaan mahasiswa/i yang berprioriti dalam membantu menjadikan UKM sebagai universiti dengan reka bentuk kemudahan yang sesuai untuk semua orang. Beliau berkata "Langkah ini amat penting kerana pihak PPA tidak dapat bergerak secara spesifik tanpa ada masukan daripada mahasiswa/i yang memerlukan bantuan seperti ini agar hak mahasiswa/i dapat dipernuhi dengan sewajarnya dan potensi mereka dapat dilipatgandakan lagi".