Bangi, 18 Mac- 32 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM bermesyuarat buat kali kedua bertempat di Bilik Gerakan HEP, dua hari yang lalu. Seramai 13 orang MPP Mahasiswa telah menghadiri mesyuarat yang berlangsung kira-kira 4 jam itu. Agenda yang dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut ialah pembentangan oleh exco kebajikan yang meliputi 3 bidang iaitu :
1) Prasarana, Keselamatan dan Pengangkutan (Mohd Rasydan Mohd Rais)
2) Air, Tenaga dan Komunikasi (Yong Yoon Kian)
3) Hal Ehwal Pengguna dan Kesihatan (Nasiha Sakina-tidak dapat hadir)
Hasil mesyuarat pada malam itu, tidak kurang daripada 2/3 majoriti ahli mesyuarat meluluskan 4 usul untuk dilaksanakan dalam gerak kerja MPP iaitu:
1) Mahasiswa/i yang mendapatkan rawatan di hospital berdekatan UKM hendaklah dipindahkan ke HUKM sekiranya perlu.
2) Penambahan router di tempat-tempat kritikal untuk meningkatkan capaian internet dan servis berkala untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan internet.
3) Ahli MPP yang tidak dapat menghadiri mesyuarat untuk membentangkan laporan gerak kerja perlu mewakilkan MPP lain untuk menggantikannya dan setiap exco hendaklah memaklumkan perkembangan gerak kerja masing-masing kepada semua MPP.
4) Bendahari PMUKM perlu menyediakan laporan kewangan perbelanjaan setiap aktiviti yang dijalankan oleh PMUKM bermula pada sesi 09/10 dan perlu dibentangkan kepada semua MPP pada akhir sesi.
Selain itu, antara perkara yang dibangkitkan adalah mengenai jawatan Exco Kerohanian atau Pembangunan Insan yang tidak diwujudkan dalam kabinet PMUKM tetapi bidang tugas Exco Kerohanian dipikul oleh 3 orang Majlis Tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha. Tambahan pula jawatan-jawatan kabinet PMUKM masih belum disahkan oleh Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin walaupun majlis watikah perlantikan telah berlalu hampir sebulan.
Muhammad Syafiq Abd Aziz(MPP Umum)yang ditemui selepas tamatnya mesyuarat tersebut menyatakan kekecewaannya terhadap jawapan yang diberikan oleh Majlis Tertinggi PMUKM tentang beberapa isu.
"Ini bukan mesyuarat kartun, ni mesyuarat MPP. Sepatutnya mereka bagi jawapan yang rasional, bukan main hentam sahaja. Dia kata macam tu, dia pula kata macam ni. Seolah-olah tiada penyelarasan maklumat. Kepimpinan mahasiswa yang lemah seharusnya ditolak awal-awal lagi." katanya yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN).