Ahad, Julai 03, 2011

PMUKM Sambut Baik Delegasi MPP UniSZA

Pada 29 Jun yang lalu, seramai 13 orang barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengadakan lawatan kunjung mesra ke UKM bagi mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama MPP UKM. Lawatan yang bertemakan 'Ukhwah Fillah' ini telah memilih UKM sebagai salah satu lokasi jelajah mereka ke beberapa IPTA di semenanjung Malaysia untuk saling bertukar-tukar pandangan dan idea bersama barisan MPP di setiap universiti yang dikunjungi bagi memantapkan sesi kepimpinan masing-masing.



Delegasi dari UniSZA ini telah disambut oleh 6 orang barisan kepimpinan PMUKM sesi 10/11 yang diketuai oleh Setiausaha Agung PMUKM, Saudara Mohamad Ezuan Mohd Saad dengan kerjasama MPP Izzuddin Pisol, MPP Wan Ahmad Fahmi, MPP Helmi Othman, MPP Azidah Mashan dan juga MPP Noraini Jumahir. 

Sebelum sesi dialog dijalankan, MPP UniSZA telah dibawa melawat ke Galeri UKM dan Muzium Warisan UKM yang terletak di Bangunan Canselori bagi melihat pelbagai kejayaan dan sumbangan yang telah dicipta oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Tepat jam 10.00 pagi, kedua-dua peringkat kepimpinan UKM-UniSZA telah bersama-sama untuk duduk semeja di Bilik Mesyuarat Aras 5, Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL) dengan membincangkan mengenai isu kebajikan mahasiswa di kedua-dua buah universiti. Pelbagai perkongsian telah diberi antara UKM dan UniSZA memandangkan isu kebajikan merupakan matlamat kepimpinan yang utama yang perlu ditangani.



Penyampaian cenderamata oleh Setiausaha Agung PMUKM, Saudara Ezuan kepada Presiden MPP UniSZA, Saudara Mohamad Isa.


Kami dari barisan PMUKM 10/11 mengucapkan terima kasih kepada MPP UniSZA atas kesudian untuk berkunjung ke UKM dan mengadakan sesi perbincangan bersama MPP UKM. Semoga ikatan ukhwah yang terjalin akan berkekalan dan pelbagai kerjasama dapat dibentuk pada masa akan datang.

"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"