Rabu, Disember 17, 2014

UCAPAN DASAR YANG DIPERTUA PMUKM 2014-2015


Bismillahhirramanirrahim
Yang Berbahagia Datuk Dr Noor Azlan Ghazali
Naib Canselor UKM

Yang Berbahagia Prof. Datin Noor Aziah Mohd Awal
Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni

Yang Berbahagia Prof. Ir Dr. Riza Atiq Abdullah
Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa

Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr.Mazlin Mokhtar
Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi

Yang Berbahagia Prof. Dr. Imran Ho Abdullah
Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat

Pegawai-pegawai kanan, UKM
Dekan-dekan Fakulti
Pengetua-pengetua Kolej kediaman
Barisan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2014/2015
Dan seterusnya, hadirin yang dihormati sekalian

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Mahasiswa

Terlebih dahulu suka untuk saya mulakan ucapan ini dengan memetik ayat 24 dalam surah Sajadah :


Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

MEMAHAMI GAGASAN BESAR UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

1.       18 Mei 2014 maka genaplah 44 tahun penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, setinggi-tinggi penghargaan buat Dato’ Noor Azlan Ghazali Naib Canselor UKM bagi sesi kali ini kerana telah menjayakan sebuah sambutan ulang tahun UKM. saya berpendapat sambutan 44 tahun UKM merupakan sambutan yang sangat meriah dan penuh makna dengan pengisian yang tidak dapat kita lupakan. Terdapat dua agenda sambutan yang sangat menarik perhatian saya. Pertama, kesanggupan pasukan UKM untuk menjejaki semula sekolah yang telah mendermakan sejumlah wang demi merealisasikan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kedua, pidato-pidato hebat yang disampaikan ilmuan UKM demi mengenang para ilmuan terdahulu yang berjuang demi membela semangat kebangsaan dan pendidikan demi anak bangsa seperti Buya Hamka dan Pendeta Zaaba. Signifikannya adalah menunjukkan bahawa UKM tidak pernah melupakan insan-insan yang telah berkorban idea ataupun wang ringgit dalam merealisasikan penubuhan sebuah universiti kebangsaan di Malaysia.

2.       PMUKM menyaksikan perubahan kepimpinan universiti daripada Prof. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sharifah Hafsah yang menerajui UKM melalui Pelan Transformasi UKM kepada Prof Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali yang mengasaskan enam Key Result Area (KRA) bagi meletakkan UKM jauh ke hadapan. Beliau sangat komited sehingga menubuhkan strategi UKM untuk memastikan universiti ini bergerak bertunjangkan enam KRA. Justeru, cabaran merealisasikan gagasan enam KRA kami sambut dengan tangan terbuka dan akan diterapkan dalam pembawakan PMUKM pada sesi kali ini. 

3.       Peralihan kepimpinan ini mendidik PMUKM untuk mengoptimumkan elemen tersebut dalam usaha mencapai wawasan UKM agar menjadi sebuah universiti beridentiti “kebangsaan” terbilang di dunia. Bertepatan dengan madah “bukit sama didaki, lurah sama dituruni” PMUKM berhasrat untuk meletakkan nilai kebersamaan dengan hasrat universiti dalam membentuk gagasan bagi sesi kali ini. Oleh itu, enam biro telah dibentuk untuk membantu merealisasikan gagasan besar UKM.

4.       Dalam usaha untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah persatuan yang mendukung falsafah universiti, sebuah perlembagaan sebagai autonomi kepada PMUKM perlu dibentuk. Dengan itu, bidang kuasa dan peranan besar PMUKM sebagai sebuah kesatuan pelajar akan menjadi lebih jelas. Sebagaimana yang terkandung dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (pindaan 2012) subseksyen 48(1), pelajar berdaftar Universiti, selain pelajar luar, hendaklah pada kesemuanya menjadi suatu badan yang dinamai Kesatuan Pelajar-pelajar Universiti. Kesatuan pelajar-pelajar di UKM ialah sepertimana yang ada pada ketika ini iaitu Badan-badan Pelajar yang terdiri daripada persatuan mahasiswa fakulti, Kelab, majlis Eksekutif Pelajar dan sebagainya.

5.       Menginsafi hakikat ini, serta pada masa yang sama menyedari tanggungjawab PMUKM sebagai persatuan yang menaungi seluruh mahasiswa di perbukitan ilmu ini kami menggariskan 4 paksi yang mendukung tema  “Memperkasa mahasiswa,  Meneraju varsiti”. Tonggak-tonggak tersebut ialah :

1) UKM KONDUSIF, MAHASISWA PROAKTIF
2) TANJAK ILMU, MERENTAS GLOBAL
3) MAHASISWA BERBAKTI, MASYARAKAT DIRAI
4) DANA KENDIRI, MENJAMIN UTILITI

PAKSI 1 :  UKM KONDUSIF, MAHASISWA PROAKTIF

6.       Sebuah institusi yang lengkap dan sempurna akan memberikan peluang serta ruang yang secukupnya untuk semua mahasiswa sebuah keyakinan untuk berani kehadapan. PMUKM percaya dengan memberikan mahasiswa keperluan kebajikan yang secukupnya, ia mampu memudahkan dan memberikan kepuasan kepada mahasiswa dan akhirnya mendorong mahasiswa untuk meneroka dan menjadikan diri mereka lebih kompeten.


KEBAJIKAN UNTUK SEMUA

7.       Paksi ini akan memfokuskan kepada kebajikan yang  boleh dibahagikan kepada empat elemen penting:

a)       Kemudahan
Di antara kemudahan yang boleh dilihat ialah kemudahan kolej kediaman dan fakulti,kemudahan Internet, air dan elektrik.

b)      Perkhidmatan
Perkhidmatan pula boleh dikategorikan kepada dua iaitu pertama, perkhidmatan yang disediakan oleh UKM seperti perkhidmatan bas, kafeteria kolej dan fakulti, urusan akademik serta urusan program pelajar. Kedua, perkhidmatan yang tidak disediakan oleh UKM seperti perkhidmatan PTPTN, JPA dan sebarang tajaan dan biasiswa.
         
c)       Infrastruktur
Infrastruktur meliputi persekitaran tempat termasuk jalan raya dan lampu jalan.

d)      Keselamatan dan kesejahteraan
Merujuk kepada situasi yang bebas daripada ancaman haiwan liar, kehilangan harta benda dan  pencabulan terhadap kehormatan diri sama ada di kolej kediaman dan kawasan akademik.

WARGA OKU TANGGUNGJAWAB BERSAMA

8.       PMUKM juga memahami masyarakat kampus terdiri daripada mahasiswa dalam negara dan luar negara. Kami akan berusaha untuk memenuhi keperluan kebajikan setiap kelompok ini. UKM adalah universiti yang kaya dengan kepelbagaian bangsa, budaya dan latar belakang. Justeru PMUKM mengakui wujud kepelbagaian kehendak. UKM juga turut dihadiri mahasiswa Orang Kelainan Upaya (OKU) yang perlu diberikan perhatian.

9.       PMUKM menyedari akan kepentingan warga OKU sebagai aset negara yang amat bernilai. Mahasiswa OKU ini turut mempunyai hak dan peluang yang selari dengan mahasiswa lain. Oleh itu, PMUKM akan berusaha untuk menjadikan warga kampus peka dengan keistimewaan warga ini di UKM. PMUKM yakin nilai kepekaan ini akan mendidik warga kampus untuk sentiasa cakna terhadap kemudahan yang sepatutnya disediakan untuk warga OKU berada pada tahap yang memuaskan. Nilai kepekaan ini yang disemai kepada seluruh warga UKM dilihat mampu melahirkan generasi UKM yang prihatin terhadap masyarakat sekeliling.

GERAK KERJA INOVATIF

10.     Dalam usaha untuk memperjuangkan hak kebajikan mahasiswa, sudah pasti ada yang bersifat semasa dan jangka masa panjang. Untuk setiap hak dan keperluan, satu kajian terperinci akan dilakukan bagi melahirkan solusi yang bermanfaat dan sesuai untuk dilaksanakan. Solusi yang terhasil akan diangkat dan disampaikan kepada pihak berwajib untuk tindakan bersama.

11.     Natijahnya, PMUKM berazam menghadiahkan kepada mahasiswa sebuah keselesaan yang memudahkan mahasiswa dalam menjalankan sebarang aktiviti, dan akhirnya memberikan kepuasan serta menjamin kualiti sebagai seorang mahasiswa. Arus ini akan di bawa ke seluruh kampus tidak kira Kampus Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur.

PAKSI 2 :  TANJAK ILMU, MERENTAS GLOBAL

12.     Pembentukan mahasiswa yang berkelas tinggi dan mampu berdiri gah di seantero dunia, salah satu elemen yang melengkapinya adalah cabang keilmuan. PMUKM menjadikan padang keilmuan dengan menjunjung martabat ilmu demi melahirkan budaya keilmuan yang membumi serta membina karakter mahasiswa yang berfikiran global. Kami percaya nilai ini perlulah dipupuk sepanjang hayat kerana ilmu terdiri daripada tiga prinsip iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat yang tinggi, sentiasa menuntut, membangun, berkongsi dan menilai ilmu serta setiap keputusan dibuat berasaskan ilmu.

13.     Paksi ini memfokuskan kepada tiga elemen yang terkandung di dalamnya iaitu :

Mempelbagaikan Mekanisme Pembudayaan Ilmu

14.     Mekanisme pembudayaan ilmu ini merangkumi pelbagai sumber dan cabang. PMUKM mengangkat nilai ilmu dengan melibatkan perkongsian cendekiawan bersama mahasiswa kerana mereka ini adalah sumber pertama dan utama di ruang universiti. Selain itu, PMUKM juga mengadakan pembentangan kertas kerja serta sesi meja bulat yang melibatkan pelbagai pihak terutamanya mahasiswa terhadap pelbagai isu. Keadaan ini bukan sahaja dapat mencambahkan idea, bahkan menjadikan input serta output lebih menarik dan ideal. Melihat kepada keberjayaan momentum Suara Kampus dan Bedah Buku sebelum ini, PMUKM komited  untuk meneruskan wadah keberjayaan ini.

Membina Karakter Mahasiswa

15.     PMUKM juga bersedia dalam suatu usaha untuk membina peribadi setiap mahasiswa. Karakter yang perlu ada dalam setiap peribadi mahasiswa ialah berkepimpinan, terkehadapan, pengurusan optimum serta berketerampilan. Selain itu, PMUKM berpendapat bahawa  melahirkan mahasiswa yang “self-govern” juga antara cabaran yang bakal digalas sepanjang sesi ini. Langkah proaktif yang bakal dilaksanakan ialah menerusi sesi bengkel kepimpinan, sidang konvensyen mahasiswa serta penglibatan mahasiswa secara aktif dalam PMUKM.

Merentas Global

16.     Merentas global adalah cetusan idea untuk membawa mahasiswa UKM ke peringkat antarabangsa. Kecemerlangan UKM di peringkat global memerlukan kepada pelaksanaan program pengantarabangsaan yang efektif dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat UKM. Justeru, penambahbaikan jaringan merupakan pendekatan yang mampu mempertingkatkan reputasi UKM agar legasi kepimpinan mahasiswa UKM “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan universiti terkemuka seantero dunia.

17.     Marcapada ini, tidak ramai pemimpin mahasiswa yang berani untuk tampil kehadapan membawa isu-isu dan krisis nasional mahupun antarabangsa. Oleh itu, PMUKM berazam untuk mendepani isu-isu tersebut dengan harapan bahawa langkah ini akan menjadi satu titik permulaan kepada budaya wacana yang sihat. PMUKM sesi ini turut beriltizam untuk keluar daripada kepompong kelaziman yang hanya berfungsi untuk mengumpulkan sumbangan material semata-mata. Setiap isu-isu akan diteliti sebaiknya dan dibawa ke satu meja perbincangan untuk mendapatkan solusi secara bersama dengan harapan ia mampu untuk menjadi satu garis panduan kepada seluruh masyarakat dunia.

18.     PMUKM berhasrat untuk turut serta dalam menyahut cabaran Malaysia yang bakal mempengerusikan ASEAN, sekaligus pelancaran Komuniti ASEAN pada tahun 2015. PMUKM berpendapat masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dan dibincangkan dengan matang dalam membentuk komuniti ASEAN. Oleh itu, PMUKM berpandangan bahawa perlunya suara dan pendapat mahasiswa untuk membantu negara dalam membentuk komuniti ASEAN yang lebih dinamik.

19.     PMUKM komited untuk mengembangkan lagi potensi mahasiswa secara menyeluruh dengan melahirkan mahasiswa yang bukan sekadar harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani bahkan mampu membentuk satu acuan minda yang lebih kritikal dan progresif serta bertaraf global.

PAKSI 3:   MAHASISWA BERBAKTI, MASYARAKAT DIRAI

20.     Masyarakat adalah terjemahan sebenar peranan mahasiswa. Masyarakat yang bersatu padu, maju dan bertamadun adalah nilai dan makna sebuah kemerdekaan. Sejajar dengan itu, PMUKM membawakan paksi mahasiswa berbakti, masyarakat dirai bagi memastikan mahasiswa mempunyai keahlian kepakaran yang menyumbang kepada lapangan masyarakat khususnya. PMUKM percaya mahasiswa harus berbakti dan menyumbang tenaga serta idea kepada pembangunan komuniti seiring dengan sejarah penubuhan UKM yang merupakan hasil titik peluh masyarakat sekeliling.

21.     Paksi ini berteraskan kepada dua teras utama iaitu:

Semangat Sukarelawan Dipupuk

22.     Semangat kesukarelawanan ini merujuk kepada rasa dan sikap ingin ambil tahu, terlibat dan menyertai di dalam ruang individu, kelompok, organisasi dan persekitaran. Justeru, melihat kepada komposisi diri manusia, semangat ini harus dipupuk dalam menzahirkan keharmonian sejagat. Kerjasama di antara mahasiswa dengan pertubuhan sukarelawan dapat membantu memupuk semangat kesukarelawanan. Kerjasama yang dimaksudkan adalah mewujudkan prasarana pembelajaran dan peluang bersukarela dalam pelbagai bentuk yang sesuai untuk turun ke lapangan dan merasai hidup bermasyarakat. Dengan semangat kesukarelawanan yang dipupuk dalam diri mahasiswa, PMUKM percaya bahawa mahasiswa akan lebih menghargai masyarakat terutamanya golongan gelandangan, anak-anak yatim, golongan yang ditimpa bencana, fakir-fakir miskin dan golongan yang benar-benar memerlukan perhatian.

Bersama Krisis Masyarakat

23.     Masyarakat kini berdepan dengan krisis yang menjadi penghalang kepada pemerkasaan pembangunan negara. PMUKM percaya, penyelesaian kepada krisis ini menjadi kunci utama dalam penerusan ke arah pemerkasaan pembangunan negara. Antara krisis yang sering dihadapi ialah krisis undang-undang dan perlembagaan, peningkatan kos sara hidup, keadilan sosial lapisan masyarakat serta masalah perpaduan. Suara mahasiswa sering kali menjadi tumpuan pimpinan negara hingga wujudnya ruang-ruang yang mengetengahkan suara dan idea mereka. Menyedari akan hal ini, PMUKM akan berusaha membawa dan menyampaikan krisis atau masalah yang dihadapi oleh masyarakat agar didengari dan beroleh perhatian pimpinan negara.

24.     PMUKM menyedari bahawa lapisan masyarakat memerlukan mahasiswa untuk menyumbang khidmat dan turun ke landasan mereka bagi bersama-sama memajmukan negara ini. Justeru, PMUKM akan berusaha membawa mahasiswa untuk menyedari hakikat keberadaan mereka di universiti bukan hanya belajar semata, bahkan juga perlu melibatkan diri bersama masyarakat ini tanpa memilih perbezaan sosial, agama dan sentimen warna kulit.

PAKSI 4 :  DANA KENDIRI, MENJAMIN UTILITI

25.     Sebagai sebuah persatuan yang berpusat kepada seluruh mahasiswa, penjanaan sumber ekonomi adalah merupakan satu kekuatan yang perlu bagi menggerakkan kesatuan. Tabung Aktiviti Pelajar TKP 23 yang diletakkan dibawah PMUKM dapat menjadi satu sumber suntikan kewangan kepada seluruh mahasiswa UKM apabila diurus dengan baik. Selain itu, PMUKM juga berkeyakinan tinggi untuk menjana kewangan sendiri melalui partisipasi serta kerjasama strategik dengan pihak luar.

26.     Paksi dana kendiri, menjamin utiliti ini menjadikan dua ciri utama iaitu:

Penjanaan Kewangan Melalui Usaha Sama Korporat

27.     PMUKM akan memastikan penjanaan kewangan persatuan diperoleh melalui usaha sama korporat. Usaha sama ini melibatkan ‘win-win situation’ di antara PMUKM dengan badan korporat atau syarikat luar. Sebagai contoh, PMUKM menyediakan perkhidmatan pemasaran dalam mempromosikan syarikat terbabit dan mereka membayar satu jumlah khusus kepada PMUKM. Setelah dana tersebut dimasukkan ke dalam akaun Tabung PMUKM, hasil usaha sama ini akan dikongsi bersama seluruh mahasiswa.

Meluaskan fungsi Tabung PMUKM

28.     Tabung PMUKM adalah kutipan terus daripada kewangan seluruh mahasiswa UKM. Maka PMUKM percaya bahawa kewangan ini mesti dikembalikan kepada mahasiswa semula. Lantaran itu, momentum kejayaan Skim Dana Persatuan (SDP) akan diteruskan bagi memudahkan urusan para mahasiswa untuk memulakan sesuatu program atau projek. Untuk membesarkan peranan Tabung PMUKM, beberapa landasan baru telah dikemukakan iaitu:

a)       Kebajikan
PMUKM menyedari Tahun 2015 merupakan tahun yang mencabar lantaran pengenalan GST dan tekanan kenaikan harga barang. Dengan kadar penurunan Jumlah PTPTN, PMUKM akan menggunakan Tabung PMUKM untuk membantu mahasiswa meringankan bebanan kendiri seperti kos sara hidup dan keperluan pengangkutan.

b)      Keusahawanan
Lantaran gesaan UKM untuk menjana kewangan sendiri bagi setiap projek dan program, PMUKM akan memulakan sebuah inisiatif bagi mengurangkan modal para mahasiswa dalam memulakan projek keusahawanan bagi menjana kewangan projek masing-masing.

c)       Pembelian aset
PMUKM memahami kondisi mahasiswa UKM yang aktif dan memerlukan peralatan atau kemudahan secara segara tanpa urusan birokrasi. Justeru, PMUKM akan menyediakan item-item “Program Wanted” untuk kegunaan bersama.

29.     PMUKM yakin dan percaya dengan kreativiti dan transformasi yang dibawa ke atas Tabung PMUKM mampu dirasai oleh golongan mahasiswa di UKM. PMUKM akan menyediakan ruang dan peluang untuk semua mahasiswa merasai sumber utama kewangan mereka daripada sebuah kesatuan utama pelajar itu sendiri.

30.     Pembawaan kepimpinan PMUKM sesi kali ini akan berlandaskan kepada nilai integriti. Hal ini,bagi memastikan PMUKM terus memberikan yang terbaik untuk mahasiswa dan berada dalam landasan 4 paksi utama. Di mana, PMUKM memberikan keadilan buat individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

INTEGRITI PMUKM DALAM MENGURUS TADBIR

31.     PMUKM merupakan badan eksekutif yang membentuk semangat kesatuan dalam kalangan mahasiswa UKM. Atas dasar kesatuan inilah mahasiswa mampu membantu universiti untuk mencapai visi dan misi yang telah digarapkan. Selain itu, kesatuan ini juga berperanan untuk menyediakan ruang serta platform bagi mahasiswa mempertingkat idea serta sahsiah mereka untuk jauh ke hadapan berbanding universiti lain.


DEWAN MAHASISWA PENTAS PERBINCANGAN EFEKTIF

32.     Bagi meneruskan budaya diskusi, Dewan Mahasiswa yang mendapat sambutan baik pada sesi lepas akan diteruskan pada sesi kali ini. Dewan Mahasiswa merupakan persidangan Ahli Majlis Perwakilan pelajar bersama wakil-wakil Majlis Eksekutif Pelajar, persatuan Mahasiswa Fakulti, Persatuan Anak Negeri dan seluruh persatuan-persatuan mahasiswa berdaftar di UKM. Dewan Mahasiswa ini memberikan peluang serta ruang buat seluruh mahasiswa UKM mengemukakan usul untuk diperbahaskan. Usul yang diterima oleh seluruh ahli dewan tersebut akan dibawa oleh Majlis Perwakilan Pelajar untuk dilaksanakan demi kebaikan bersama. Dewan mahasiswa ini juga menjadi medium bagi Yang Dipertua PMUKM untuk membentangkan aktiviti terkini badan-badan pelajar. Amalan ini yang telah dipraktikkan di beberapa universiti terkemuka dunia seperti Universiti Oxford di mana debat mingguan diadakan setiap hari Khamis petang sepanjang semester dan mereka bebas untuk mengutarakan apa jua isu berkaitan agama mahupun politik. Seterusnya, menjadikan usaha ini sebagai penanda aras untuk pemimpin mahasiswa UKM setanding dengan mereka.

MATPMUKM CERMINAN KETELUSAN SEBUAH KESATUAN

33.     Sebagaimana yang disebutkan di dalam Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia 2010 (sebagaimana pada 22 November 2012) Perkara 57 (11) dan (12) maka menjadi tanggungjawab Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mentadbir Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) untuk mengemukakan kepada seluruh mahaiswa/i berkenaan penggunaan kewangan dan laporan-laporan aktiviti sepanjang sesi. Justeru Mesyuarat Agung Tahunan PMUKM (MATPMUKM) akan dilaksanakan bagi menjadi medium khusus di antara mahasiswa/i UKM dan PMUKM. Ketelusan dalam menguruskan sumber dan gerak kerja merupakan satu elemen penting dalam menjaga entiti sesebuah organisasi. PMUKM melihat usaha ini perlu dilaksanakan di setiap peringkat pimpinan mahasiswa termasuklah Majlis Eksekutif  Pelajar yang berkuasa penuh di kolej.

3) AGENDA KHAS PMUKM

34.     PMUKM berusaha untuk melaksanakan beberapa kempen bagi memastikan mahasiswa/i merasai keberadaan dalam sebuah kesatuan. Kempen ini juga bertujuan untuk membangkitkan nilai aktivisme, intelektualisme dan kesukarelawanan dalam diri mahasiswa.


KEMPEN KEBEBASAN AKADEMIK

35.     Kebebasan akademik yang dimaksudkan adalah seperti mana yang dijelaskan di dalam perkara 1.(b) dan perkara 1.(c) Kod Universiti Kebangsaan Malaysia (Tatakelakuan Aktiviti Politik Pelajar dan Badan Pelajar) 2013.

(b)Kod ini adalah bertujuan untuk menjamin kebebasan akademik semua pelajar untuk meneroka dan menyelidik, belajar dan bersuara di khalayak ramai secara telus mengikut suara hati yang jujur, tanpa perasaan takut untuk dipersalahkan atau kemungkinan diambil tindakan;

(c)Kebebasan akademik sangat penting dan perlu dipertahankan dengan kebertanggunjawaban yang tinggi. Menerusi kebebasan akademik inilah Universiti menjadi tonggak utama kepada pembentukan struktur sosial, inovasi dan kemajuan ilmu pengetahuan saintifik yang kritikal dalam pembinaan tamadun;

36.     Keunggulan sesebuah universiti menurut Datuk Saifuddin Abdullah ialah budaya ilmu yang dihayati oleh keluarga universiti itu sendiri. Lantaran itu untuk mendapat keunggulan dan roh universiti itu, PMUKM akan melaksanakan kempen kesedaran kampus/IPTA yang membahaskan landasan kebebasan akademik sedia ada dengan lebih membumi serta membawakan kepada mahasiswa ahli-ahli parlimen untuk berkongsi wadah ilmu itu sendiri. Selain itu, diskusi meja bulat dalam membincangkan kerangka kebebasan akademik akan diadakan bagi diimplementasikan di kampus.

KEMPEN KAMPUS HIJAU

37.     Hijau membawa maksud kelestarian yang memerlukan kepada kreativiti dan inovasi. Dua asas ini bakal mewujudkan keamanan dan keselesaan di dalam kampus. Justeru, keselesaan di alam kampus mampu mencetuskan suasana harmoni kepada seluruh warga universiti.

38.     PMUKM akan mewujudkan fenomena “Hijau” di dalam kampus dengan membawa idea dan cetusan inovasi dari kalangan mahasiswa untuk diangkat dan direalisasikan. Kempen ini akan mengumpulkan mahasiswa yang datang  dari pelbagai latar belakang untuk berkongsi idea dalam memperbaiki suasana kampus dan mewujudkan budaya mentaliti hijau. Kempen-kempen “hijau” sambutan seluruh dunia juga akan digarap masuk ke dalam kempen Hijau PMUKM bagi memberikan kesedaran dan meningkatkan cetusan inovasi mahasiswa.


KEMPEN SISWI KOMPETEN

39.     PMUKM menyedari bahawa siswi merupakan golongan majoriti di UKM iaitu melebihi 70 peratus daripada jumlah pelajar bagi peringkat prasiswazah. PMUKM berpendapat untuk menggerakkan UKM jauh ke hadapan, perkara yang paling utama ialah dengan menggerakkan para siswi untuk mampu menjulang gagasan UKM.

40.     PMUKM bersedia untuk melahirkan para siswi yang kompeten dari segi pelajaran, kepimpinan dan kerjaya. PMUKM memahami cabaran di dunia sebenar yang lebih besar untuk para siswi kelak. Matlamat akhirnya, siswi UKM adalah wanita dinamik yang sarat dengan prinsip dan tidak goyah dengan sebarang cabaran.

41.     Ke arah merealisasikan harapan tersebut, kempen untuk mengangkat suara siswi akan diadakan, sesi mentor-mentee yang  efisen bakal dirancang, dan  bengkel-bengkel berkenaan siswi juga bakal dianjurkan.

PENGHARGAAN

Terima kasih tidak terhingga kepada Yang Berbahagia Datuk Naib Canselor, Yang Berbahagia Prof Datin Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), dan Timbalan Pengarah, Hal-ehwal Pelajar dan Alumni yang sentiasa membimbing dan membantu MPP UKM. Semoga gagasan dan perancangan ini dapat direalisasikan demi kebaikan semua.

“Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti”

Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh :
Muhammad Sallehudin Bin Khalid
Yang Dipertua
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia
Sesi 2014-2015