Oleh : Siti Nor Bahijah Mohd Zaki
Naib Yang Dipertua II
12 Disember 2014, USIM – Program Forum Bicara Siswi anjuran MPPUSIM dengan membawakan tajuk “Wanita, Serlahkan kekuatanmu” telah menarik perhatian saya untuk sama-sama berkongsi pandangan berkaitan “wanita” dalam konteks Mahasiswi hari ini. Jemputan untuk menjadi salah seorang panel, diterima dengan tangan terbuka. Kerana ilmu yang diperoleh bukan untuk disimpan tapi untuk dikongsi bersama.
Antara soalan yang telah diajukan kepada saya semasa forum berlangsung.
1. Apakah peranan wanita kepada siri sendiri, masyarakat dan Negara ?
2. perjuangan bagaimanakah yang perlu wanita perjuangkan ?
Persoalan ini dijawab dengan menyingkap kekuatan wanita disebalik “keayuan” yang dimiliki oleh mereka. Peranan utama seorang siswi muslim adalah tunduk dan patuh kepada suruhan Allah s.w.t dan paling penting menjaga maruah diri. Penjagaan maruah diri perlu dititikberatkan agar wanita hari ini tidak hanyut dibawa arus kealpaan dunia yang penuh lakonan semata. Perumpaan yang mudah, analogikan wanita sebagai sebentuk cincin. Antara cincin yang dijual di Pasar Malam atau cincin dijual di Kedai Emas, diletak elok dalam kotak kaca, manakah yang menjadi pilihan hati ? Fitrah manusia inginkan sesuatu yang indah dan bernilai. Namun tidak semudah itu untuk mendapatkan sebentuk cincin emas di dalam kotak kaca tersebut jika tiada usaha yang gigih dalam mengumpulkan duit bagi membeli cincin tersebut. Begitu juga dengan wanita, mahalkan dirimu bukan mahalkan maharmu. Agar seluruh dunia dapat merasa aura kekuatan seorang wanita.
Dalam konteks perjuangan pula, perjuangan apa yang perlu difokuskan dalam gerak kerja seorang wanita. Membicarakan persoalan wanita dan penglibatannya dalam gerak kerja Islam, sesuai dengan latar masa hari ini yang menyaksikan kemerosotan nilai-nilai agama, kepincangan akidah, dan keruntuhan akhlaknya. Peranan seorang wanita bukan lagi tersorok disebalik sudut-sudut yang tersembunyi tetapi golongan hawa ini mestilah berdepan dengan cabaran yang semakin rencam, dengan arus putaran masa yang semakin mengganaas dan melemaskan generasi digital era langit terbuka hari ini.
Justeru, wanita haruslah bergerak sepantas mungkin agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kepimpinan seorang lelaki. Bukan tujuan mencantas kepimpinan seorang lelaki, namun seorang wanita khususnya mahasiswi harus mengorak langkah baru bagi mencapai matlamat yang ingin digapai. Mahasiswi !, anda hari ini bukan wanita biasa, tetapi andalah yang bakal mencorakkan Negara suatu masa akan datang. Tetapkan matlamat dan azam yang jitu agar tidak tersasar dibawa arus dunia. Jadilah wanita yang berprinsip. Serlahkan kekuatanmu, pecahkan kebekuan dalam dirimu.
Dalam kesederhanaan, tunjukkan kepada dunia kekuatan perasaan yang telah Allah s.w.t berikan kepadamu.
Duhai wanita, jagalah dirimu.
Jagalah kehormatanmu.
Ingatlah. Mekarmu cuma hanya sekali.
Setinggi-tinggi penghargaan buat MPP USIM kerana sudi menjemput saya sebagai salah seorang panel dalam program Forum Bicara Sisiwi bagi sesi kali ini. Moga perkongsian bersama dapat menampilkan wanita yang kompeten pada masa akan datang.
Sekian,
"Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti"