Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) sebentar tadi menerima emel respon daripada wakil pegawai PTPTN berhubung penjelasan pemotongan RM 500 yang berlaku kepada segelintir mahasiswa UKM.
Menurut emel tersebut, pemotongan wang PTPTN yang dimasukkan pada semester ini tidak berlaku kepada semua pelajar, tetapi hanya beberapa pihak sahaja. Dan hal ini tidak seragam dan tiada kaitan dengan keputusan peperiksaan atau lain-lain.
Pemotongan RM 500 ini juga, menurut wakil tersebut harus difahami TIDAK SECARA BERKALA, maknanya ia mungkin dipotong pada semester 2,4, atau 5 atau 2,3 dan 4. Pemotongan ini mengikut perjanjian asal akan dipotong setelah 6 bulan pelajar mendapat pinjaman kali pertama.
Pendek kata, para pelajar harus menyemak dan mengetahui jumlah wang masuk sendiri, kerana jumlah yang masuk tidak sama dengan rakan yang lain.
Pihak PTPTN juga menjelaskan berkenaan kelewatan wang masuk pada sesi kali ini. Menurut wakil tersebut, ini bermula daripada kelewatan pengesahan daripada pihak Universiti sendiri.
Dalam konteks UKM, Dewan Senat UKM pada sesi kali ini hanya menghantar untuk pengesahan nama-nama pelajar selepas 15 Februari ; iaitu selepas keputusan peperiksaan semester 1 diumumkan.
Ini menyebabkan PTPTN hanya boleh memasukkan duit ke akaun-akaun pelajar pada 2 Mac 2012.
Masalah teknikal jejaskan migrasi data
PTPTN juga menjelaskan bermula tahun 2012, pihaknya menggunakan sistem data yang baru. Malangnya sistem tersebut gagal beroperasi dengan baik, dan menyebabkan pihak mereka terpaksa menggunakan sistem yang lama dengan sedikit penaiktarafan.
Isu yang timbul;
a) pelajar yang mendapat Wang Pendahuluan Pelajar (WPP) sebanyak RM 1500, tetapi ditolak RM 500 lebih daripada 3 kali
b) pelajar yang tidak mengambil WPP tetapi tetap ditolak RM 500.
Justeru pihak PTPTN meminta mana-mana pelajar yang mengalami dua situasi di atas agar segera menghubungi pihak mereka melalui emel untuk penyemakan kembali data dalam kadar segera.
Pihak PTPTN juga memaklumkan pembayaran bagi kelompok kedua bakal bermula pada penghujung bulan Mac ini atau selewat-lewatnya bulan April 2012.
Sebagai penutup, pihak Persatuan Mahasiwa UKM (PMUKM) akan terus komited membawakan isu PTPTN ini demi kepentingan dan kebajikan mahasiswa bersama. Selari dengan slogan PMUKM sesi ini, Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti
Ber-GM Lebih Baik!