Rabu, Mac 28, 2012

Rang Undang-Undang Pekerja Sosial bakal dibentangkan di Parlimen,

PUTRAJAYA 28 Mac - Rang Undang-undang Pekerja Sosial yang digubal bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sosial di negara ini dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Gambar hiasan
Sekiranya diluluskan melalui peruntukan undang-undang baru tersebut, Kerajaan akan mewujudkan Majlis Pekerja Sosial Malaysia sebagai usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sosial kepada masyarakat terutama golongan yang memerlukan.

Di bawah majlis tersebut semua pekerja sosial akan didaftarkan bagi mengawal selia kelayakan mereka dan memantapkan lagi profesion kerja sosial serta penyampaian perkhidmatan sosial di negara ini.


Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, ia sejajar dengan intervensi dan penyelesaian masalah sosial yang semakin kompleks, keperluan menyediakan tenaga kerja profesional berpengetahuan dan kompeten penting dalam bidang kerja sosial.

"Pekerja sosial adalah bidang profesional yang memerlukan kepakaran kerana mereka berdepan dengan golongan memerlukan.

"Justeru, majlis ini akan melaksanakan piawaian kompetensi kerja sosial selain menentukan akreditasi supaya kualiti penyampaian dalam perkhidmatan sosial di negara ini dapat dipertingkatkan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Bicara Penggubalan Akta Pekerja Sosial di kementeriannya, di sini semalam.

Untuk rekod pada 2010, Kabinet bersetuju menggubal Akta Pekerja Sosial untuk mengawal selia tugas berkenaan kerana sebelum ini pekerja sosial boleh terdiri daripada sesiapa saja. Bagaimanapun menerusi akta berkenaan, tugas itu hanya boleh dijalankan pekerja berlesen dan berdaftar.

Dalam hal ini, Shahrizat berharap masyarakat umum tidak menganggap kewujudan akta itu menghalang mereka melakukan kerja-kerja amal seperti sebelum ini.

"Bagi mereka yang gemar melakukan kerja-kerja amal, teruskan tugas itu dan akta ini tidak menghalang kerja-kerja mereka kerana ia diwujudkan bagi mengawal selia mereka yang terlibat sebagai pekerja sosial," katanya.