SHAH ALAM, 22 MAC :Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bukan bertujuan untuk mengongkong golongan mahasiswa.
Sebaliknya, katanya, cadangan itu menunjukkan kepercayaan kerajaan terhadap kemampuan mahasiswa berfikir, bertanggungjawab serta membuat keputusan dengan matang demi menentukan masa depan mereka.
Beliau berkata falsafah di sebalik cadangan pindaan AUKU akan membolehkan mahasiswa mendengar ceramah politik dan memilih parti tanpa mengabaikan tumpuan terhadap pelajaran semasa di kampus.
Najib berkata demikian dalam amanatnya kepada 10,000 warga kampus dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara sempena Majlis Pelancaran Yayasan Sukarelawan Siswa di Universiti Teknologi MARA, di sini, malam tadi.
Katanya pindaan AUKU menunjukkan kerajaan tidak menutup minda mahasiswa tetapi sebaliknya memberi peluang kepada mereka membuat penilaian dan pertimbangan.
Beliau berkata kerajaan tidak akan bermain soal jual beli janji tetapi membuktikan kepada rakyat termasuk mahasiswi bahawa mereka boleh meletakkan keyakinan kepada kerajaan untuk terus memimpin negara.
"Kita beri jaminan bahawa hari esok lebih baik daripada hari ini. Perubahan besar sedang berlaku di negara kita dan ini bukan retorik politik," katanya.
Najib juga berkata kerajaan juga tidak melupakan keperluan jangka panjang kepada mahhasiswi yang memerlukan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan mereka.