Sesi penerangan PMUKM berkenaan isu Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sebentar tadi berlangsung dengan lancarnya.
Dengan kehadiran lebih daripada 30 orang di Sudut Pidato, siri penerangan tersebut membariskan Presiden PMUKM, saudara Ahmad Muzzammil dan Mohamad Ezuan (Setiausaha Agung) dengan dimoderator oleh saudari Ilyza binti Ibrahim dari Fakulti Ekonomi & Pengurusan (FEP).
LT M Ahmad Muzzammil sebagai pemidato pertama menjelaskan pertemuan dengan pihak PTPTN pada hari Isnin,5 Mac lalu. Hasil pertemuan tersebut, PMUKM mengutarakan beberapa contoh kes untuk diberi perhatian oleh pihak PTPTN.
Satu perjumpaan khas juga akan diadakan pada pukul 3 petang ini, (8 Mac) di Auditorium Siswa (AudiSiswa) di antara pihak PTPTN dengan mahasiswa-mahasiswi yang bermasalah berserta Bendahari UKM selaku wakil daripada pihak Universiti.
Pemidato kedua, saudara Ezuan pula memberi penjelasan kategori-kategori kes pelajar yang bermasalah. Antaranya;
a) Ditolak RM 500 walaupun tidak ambil Wang Pendahuluan Pelajaran (WPP).
b) Ditolak RM 500 walaupun telah habis bayar (3 kali bayaran).
c) Pelajar tidak mendapat sebarang wang pada semester ini.
Sesi penerangan tengah hari tadi turut membuka ruang kepada mahasiswa mengajukan persoalan. Antara soalannya berkaitan kemungkinan wang yang sudah dipotong.
Bagi kes pertama dan kedua, saudara Presiden menjelaskan pihak PTPTN akan membayar kembali setelah semua proses selesai mengikut prosedurnya.
Bagi kes ke-3, pihak PTPTN akan memasukkan wang tersebut pada dalam kelompok kedua; sekitar penghujung bulan Mac atau awal bulan April 2012.
Siri penerangan tersebut berakhir sekitar pukul 1.15 petang.