Isnin, Mac 12, 2012

YDPA perkenan rasmi Sidang Parlimen ke- 12, Penggal Kelima

KUALA LUMPUR 12 Mac - Sidang Parlimen ke-12 bagi sesi Mac-April telah selesai dirasmikan pada pagi ini oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Majlis yang penuh adat istiadat ini dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet serta perwakilan asing selaku pemerhati.

Bersama-sama Tuanku Baginda, Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah yang mencemar duli hadir buat kali pertama sejak pertabalan Baginda pada penghujung tahun lalu.


Dewan Rakyat dijadualkan mula bersidang esok hingga 12 April dan Dewan Negara mulai 23 April hingga 10 Mei.

Ketibaan YDP Agong baru di Parlimen

Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tiba di Dataran Parlimen kira-kira pukul 10 pagi.

Selepas lagu 'Negaraku' dimainkan, Tuanku Abdul Halim memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi di sini yang diketuai Mejar Amriza Mohd Ashaari.

Serentak dengan upacara itu, 21 das tembakan meriam dilepaskan.

Agong seru rakyat bertanggungjawab jaga kepentingan negara

Upacara penuh istiadat itu kemudian diteruskan dengan Ucapan Perasmian Baginda yang berlangsung di dalam Sidang Dewan di hadapan kesemua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika bertitah menyeru seluruh rakyat supaya sentiasa mengukuhkan perpaduan serta memberi sokongan kepada agenda pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan.

Tambah Baginda, rakyat perlu mengelak daripada melakukan apa jua tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negara ataupun cuba menidakkan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan.

"Beta berharap semua pihak terutama generasi muda berusaha memahami dan menghayati sejarah kemerdekaan negara yang merupakan hasil pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan dan seterusnya menghargai kebebasan yang dinikmati sekarang."

Selain itu baginda menyeru agar rakyat memperkukuhkan perpaduan nasional serta mengelakkan daripada melakukan tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negara.

Malah Tuanku Abdul Halim menyeru agar semua pihak terutama generasi muda berusaha memahami dan menghayati sejarah kemerdekaan serta menghargai kebebasan yang dinikmati hari ini.

"Kukuhkanlah perpaduan dan elakkanlah daripada melakukan apa jua tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negara ataupun cuba menidakkan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan.

"Beta mengharapkan para pemimpin di setiap peringkat, para cendekiawan, media massa dan badan bukan kerajaan memainkan perananyang lebih berkesan dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan mengenai kepentingan perpaduan nasional," titah baginda

Dengan berlangsungnya upacara tersebut, maka Sidang Parlimen akan mula berbahas bermula esok dan dijangka akan tamat pada 12 April depan.

Sidang Dewan Negara pula bakal dimulakan 12 April hingga 10 Mei 2012.