SUDAH setahun berlalu revolusi di Syria yang dicetuskan pada Mac 2011. Kebangkitan rakyat yang pada mulanya itu atau dikenali sebagai revolusi kini bertukar menjadi penyembelihan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat yang mahukan demokrasi dan keadilan kepada negara itu.
Kebangkitan mereka bagi melaksanakan tuntutan jihad yang paling besar iaitu seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud, ‘Jihad yang paling afdhal adalah menyatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.’
Mereka bangkit setelah dizalimi lebih 40 tahun. Mereka bangkit demi menuntut sebuah kebebasan dan demokrasi. Keadilan dan hak seorang warganegara yang terlalu dinafikan hak terutama dalam soal politik dan pemerintahan.
Revolusi di Syria ia amat berbeza dengan revolusi yang berlaku di Tunisia, Libya dan di Mesir. Syria terpaksa mempersembahkan ribuan rakyatnya sebagai ganti kepada makna sebuah kebebasan. Mereka keluar ke jalan-jalan raya tanpa senjata bahkan keluar secara aman berhadapan dengan tenteratentera rejim yang amat kejam dan dilengkapi pelbagai kemudahan senjata.
Tetapi mereka tetap tabah meneruskan perjuangan sekalipun usia revolusi mereka sudah menjangkau setahun. Ketabahan mereka khasnya kepada penduduk di Baba Amru dalam wilayah Homs yang dikepung dan digempur sejak sebulan lalu dikagumi oleh dunia.
Sejarah lebih 30 tahun Syria di bawah rejim Hafiz Al-Asad, bapa Basyar Asad menyaksikan terlalu banyak kezaliman yang dilakukan. Paling kejam apabila pada tahun 1982, Hafez Al-Asad bertindak ke atas penduduk di wilayah Hama melalui operasi ketenteraan yang digelar ‘operasi bumi hangus’.
Ini kerana pada serangan ketenteraan selama 27 hari itu, tentera Syria atas arahan Hafez telah menggunakan kelengkapan perang seperti meriam bagi menyerang penduduk kampung yang tidak memiliki apa-apa senjata.
Operasi ini yang diketuai oleh adik Hafiz sendiri iaitu Rifíat telah mengorbankan lebih 40 ribu nyawa muslim Sunni. Itu penyembelihan yang besar, belum dilihat penyembelihan kecil yang dilakukan.
Sebagai contoh, pembunuhan di sebuah perkampungan di Halab yang dilancarkan pada pagi Hari Raya Aidilfitri tahun 1980.
Ketika rakyat baru selesai menunaikan solat Aidilfitri, segerombolan tentera di bawah Jeneral Hashim Ma’ala telah mengepung kampung tersebut dan membunuh lebih 40 orang penduduk.
Satu lagi contoh kekejaman Hafez diceritakan oleh seorang ulama, Dr Riyadh Abdullah. Katanya, Al-Marhum Saíid Hawa pernah memberitahu beliau bahawa terdapat sebuah kubur yang lebarnya 10 meter yang Hafez menanam rakyatnya hidup-hidup.
Sejak peristiwa-peristiwa kejam tersebut, rakyat Syria sentiasa dibelenggu dengan ketakutan yang maha dahsyat.
Mereka tidak berani menegur dan mengkritik Presiden bahkan dalam keluarga pun, seorang ayah tidak berani bercakap soal politik negara dengan anak dan begitulah sebaliknya. Bahkan terdapat kisah mereka yang mengkritik Presiden boleh dipenjara hingga 6 bulan.
Dalam masa yang sama, Hafez cukup menikus dengan Israel.
Sejarah telah membuktikan bagaimana Bukit Golan yang menjadi hak Syria boleh terlepas kepada Israel dengan begitu mudah walaupun kononnya media negara menonjolkan Hafez seorang wira apabila melancarkan peperangan ke atas Israel tahun 60-an bagi merampas tanah Golan.
Tetapi sebenarnya itu hanyalah lakonan Hafez apabila Israel dengan mudah merampas Bukit Golan dan hingga hari ini sebutir peluru tentera, Syria tidak lepaskan kepada Israel.
Masa yang begitu lama di Syria berbanding dengan Mesir dan lain-lain antaranya kerana faktor tentera. Perlu diingat, tentera Syria diketuai oleh adik kandung Basyar iaitu Maher.
Selepas dilantik Presiden Syria pada tahun 2000, Basyar tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pentadbiran kerana dia hanya seorang doktor dan ayahnya tidak melatih dirinya untuk menjadi politikus.
Maka, dia terpaksa melantik orang yang dipercayainya daripada kalangan keluarganya membantunya dari sudut pentadbiran. Maka dilantik adiknya sebagai ketua tentera, sepupunya Atif Najib sebagai ketua polis wilayah Daría selain tiga orang iparnya iaitu Asif Syaukat, Muhammad Nasif dan Abdul Fattah Qudsiyah.
Hingga kini, tiada apa yang boleh diharapkan kepada dunia. Liga Arab, Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka hanya bersandiwara kononnya akan membantu rakyat Syria.
Dalam hal ini, kita boleh memuji negara Turki yang menjadi jiran kepada Syria. Kerajaan pimpinan Tayyib Erdorgan kerap mengkritik rejim Syria bahkan membuka pintu sempadan negara untuk dijadikan khemah pelarian bagi rakyat Syria.
Menteri Luarnya, Dawud Ughlu sendiri dilihat turun ke khemah-khemah pelarian membelai rambut kanak-kanak yang menjadi mangsa kekejaman Basyar. Negara Saudi sendiri juga dilihat memberikan bantuan moral kepada Syria melalui rajanya, Raja Abdullah. Begitu juga terdapat cadangan dari Qatar yang menggesa negara Arab menghantar pasukan keamanan bagi memelihara keselamatan rakyat Syria.
Juga terdapat usaha PBB membentangkan usul di Majlis Keselamatan bagi menggesa tekanan lebih berat dikenakan kepada Basyar tetapi malangnya Russia dan China menggunakan kuasa veto menghalang usul tersebut diluluskan. Lebih mengecewakan, Menteri Luar Russia memberikan amaran kepada Qatar jika negara Qatar meneruskan cadangan menghantar tentera ke Syria, ‘Qatar akan dipadamkan dari peta dunia’ satu kenyataan ugutan.
Dalam hal ini, Hamas juga menunjukkan sokongan kepada revolusi rakyat Syria. Pendirian Hamas sebelum ini ditunggutunggu dunia kerana Syria dan Iran adalah sekutu Hamas yang banyak memberikan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. Bahkan Ketua Biro Politiknya, Khaled Mashíal juga mendapat perlindungan di Damsyik.
Buat masa ini juga, tiada kumpulan Islam yang betul-betul serius dalam menangani isu ini. Mungkin kerana masing-masing fokus kepada isu dalaman masingmasing, sebagai contoh Ikhwan Muslimin Mesir yang baru dapat menguasai Parlimen dan bakal berhadapan dengan Pilihanraya Presiden dan pindaan terhadap Perlembagaan Mesir. Begitu juga negara-negara atau kerajaan Arab lain, mereka sepakat mengutuk tindakan kezaliman Basyar tetapi tiada tindakan susulan dilakukan.
» Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)