Isnin, Mac 05, 2012

Pejabat PMUKM dihujani aduan isu PTPTN

BANGI, 5 Mac - Pejabat Urusan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) hari ini tidak putus-putus didatangi oleh para pelajar.

Ini berikutan masalah pinjaman Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) yang menimpa khususnya di kalangan mahasiswa tahun 2.



Ada segelintir yang menyifatkan masalah PTPTN pada sesi kali ini bukan sekadar mengganggu 'mood' belajar di awal semester, tetapi sudah ada yang berkira-kira ingin menamatkan pinjaman PTPTN ini ekoran masalah sistem PTPTN yang 'mengelirukan' dan mendatangkan ragu-ragu (syubhah).

PMUKM komen isu PTPTN

Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) melalui wakilnya, saudara Ahmad Muzzammil yang juga merupakan Presiden PMUKM sesi ini ketika ditemui berkata, "Isu PTPTN kali ini bukan saja lewat, (malahan) berkurang pula.

"Ada kes sangat meragukan (apabila) duit PTPTN dimasukkan separuh, tetapi hutang di dalam (perincian) SMPWeb masih ada," jelas Ahmad Muzzammil.

'Ajak rakan-rakan, tampil buat aduan'

PMUKM dalam pada itu terus menyeru kepada rakan-rakan mahasiswa agar tampil ke Pejabat PMUKM dalam kadar segera dan membuat aduan berkenaan isu PTPTN ini.

"Beritahu kepada rakan-rakan di kolej dan kursus anda; semua ini akan kita bawakan ke pihak berkenaan untuk mendapatkan penjelasan," tambah Ahmad Muzzammil.