Jumaat, Mac 16, 2012

FOMCA : Pemegang akaun berhak dapat Penyata Akaun Simpanan Bank secara percuma

PETALING JAYA 15 MAC : Semua pemegang akaun simpanan berhak untuk mendapatkan penyata akaun simpanan bank pada setiap bulan secara percuma, kata Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Datuk N. Marimuthu.

Beliau berkata penyata akaun simpanan perlu diberikan kepada pemegang akaun secara percuma tanpa dikenakan sebarang caj disebabkan mereka telah membuka akaun simpanan dan melaburkan duit simpanan kepada pihak bank.

"Tidak wajar pihak bank mengenakan caj yang tidak relevan kepada pemegang akaun bagi mendapatkan penyata bulanan kerana ia penting untuk mereka mengetahui aliran keluar masuk wang di dalam akaun simpanan.

"Apa yang lebih mengejutkan adalah terdapat bank yang mengenakan caj RM2 hingga RM15 bagi setiap muka surat penyata bulanan sekiranya pemegang ingin mendapatkannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen "Hak Mendapatkan Penyata Simpanan Saya" di sini, Khamis.

Marimuthu berkata walupun penyata bulanan boleh dilihat oleh pemegang akaun secara online, beliau berpendapat sistem dokumentasi adalah lebih penting terutamanya melibatkan wang simpanan setiap pemegang.

"Terdapat beratus-ratus ribu pemegang akaun simpanan dinafikan hak mereka dalam mendapatkan penyata bulanan yang sepatutnya dikeluarkan oleh pihak bank.

"Menurut Bank Negara, setiap pemegang akaun mesti diberikan 'passbook' atau penyata bulanan. Pengguna tidak boleh merujuk kepada penyata simpanan mereka sekiranya berlaku percanggahan jumlah simpanan di bank jika mereka tidak mendapat penyata bulanan," katanya.

Menurutnya, kempen "Hak Mendapatkan Penyata Simpanan Saya" yang dilancarkan pada Khamis akan berjalan selama 45 hari dengan menggunakan laman sosial Facebook sebagai medium bagi pemegang akaun simpanan mengemukakan aduan dalam mendapatkan penyata bulanan mereka.

Marimuthu berkata kesemua aduan yang diterima sepanjang kempen itu akan dilanjutkan kepada pihak Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) untuk tindakan susulan. - BERNAMA