Sebelum ini, Saudara Mohd Abdullah Bin Mohamed Yusoff, Pengerusi NGO, Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan ( GMPK ) merangkap Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan ( PMUKM ) telah membuat satu dakwaan dengan menyiarkan pekeliling lengkap dari Pejabat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia ( JPAM ), telah mendapat reaksi yang positif dari kebanyakan mahasiswa seluruh Malaysia.
Surat Pekeliling JPA |
Bahkan perkhabaran tersebut telah memberi pengharapan yang cukup besar kepada mahasiswa pendidikan dan bukan fakulti pendidikan yang akan, dan sedang menjalani latihan praktikal di seluruh Malaysia. Ekoran dari artikel tersebut, ramai yang tertanya-tanya bagaimana prosedur bagi mendapatkan elaun tersebut.
Perlu di fahamkan bahawa, surat pekeliling yang di siarkan oleh saudara Pengerusi tersebut bukan sekadar untuk mahasiswa Fakulti Pendidikan yang berpraktikal sahaja tetapi semua mahasiswa yang menjalani latihan amali di sektor kerajaan.
Pejabat Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya |
Sehubungan itu, Setiausaha GMPK, Saudari Nurhidayah binti Juhari bersama Gabenor Pendidikan UKM merangkap Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan, Saudara Mohd Izzuddin bin Mohd Pisol serta Saudari Siti Muslihah Abdul Manap ( SUK MPP ) telah merujuk perkara tersebut kepada Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM )bagi mewakili mahasiswa fakulti pendidikan untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan mengenai elaun praktikal bagi guru praktikal fakulti pendidikan.
KPM sahkan dakwaan GMPK sebelum ini.
Wakil KPM mengesahkan kebenaran guru praktikal layak menerima elaun bulanan dan menjelaskan bahawa elaun ini diuruskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah masing-masing. Untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjuk, wakil GMPK telah merujuk ke Pejabat Pelajaran Wilayah Persekutuan, Putrajaya untuk mengetahui lebih lanjut prosidur tuntutan tersebut. Setelah berdialog antara kedua belah pihak, jabatan memaklumkan bahawa pelajar yang praktikal sememangnya akan diberi elaun dan diuruskan oleh pihak sekolah masing-masing. Pihak sekolah perlu mengurus elaun guru praktikal seperti elaun guru ganti.
Prosidur tuntutan elaun bagi pelajar Fakulti Pendidikan
1) Serahkan surat pekeliling dari JPA ( seperti yang dilampirkan sebelum ini ) bersama dengan surat akuan praktikal ( surat dari fakulti ) kepada pihak sekolah.
2) Buat susulan supaya tuntutan elaun tersebut diuruskan oleh pihak sekolah.
3) Bahagian pengurusan kewangan sekolah perlu menguruskan elaun guru praktikal seperti guru ganti untuk di serahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah ( PPD )atau JPN
4) Doakan supaya pengurusan pihak sekolah anda tidak buat masalah.
Prosidur tuntutan elaun bagi pelajar bukan Fakulti Pendidikan
1)Serahkan surat pekeliling dari JPA ( seperti yang dilampirkan sebelum ini ) bersama dengan surat akuan praktikal ( surat dari fakulti ) kepada pihak pengurusan kewangan tempat anda berpraktikal.
2)Segala urusan lanjut adalah dibawah pihak pentadbiran majikan..
Penutup
Pengesahan ini bermakna semua yang berpraktikal di sektor kerajaan adalah layak menerima elaun bulanan sejumlah RM15 sehari selama tiga bulan ( Maksimum ).
"Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti"
"Guru Berkualiti Asas Pendidikan Unggul"
Nurhidayah binti Juhari
Setiausaha,
Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan ( GMPK )