Isnin, Mac 26, 2012

PDRM berdepan jenayah siber yang kian meningkat

KUALA LUMPUR, 25 MAC - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal berhadapan cabaran lebih hebat pada masa akan datang berikutan pelbagai taktik baru perlakuan jenayah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata jenayah siber kini semakin meningkat, manakala jenayah jalanan dan indeks perlu terus diberi perhatian, terutamanya dalam aspek pencegahan.

"Kerajaan amat prihatin terhadap perlakuan jenayah dalam konteks negara kita dan antarabangsa," katanya pada majlis sempena Peringatan Hari Polis ke-205, di Dataran Merdeka, malam tadi.



Katanya pihak polis sedar bahawa rata-rata pengguna Internet adalah golongan remaja atau Generasi Y, iaitu terma yang merujuk kepada golongan itu.

Beliau berkata mereka merupakan golongan yang tampil membuat laporan polis mengenai penipuan dalam transaksi jualan secara dalam talian menggunakan Internet.

"Saya difahamkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil menerima banyak laporan mengenai kes sedemikian dan siasatan rapi dijalankan bagi mengenal pasti penjenayah berkenaan," katanya.

'Kesilapan perkara biasa'

Katanya beliau turut mengakui bahawa kadangkala wujud insiden yang tidak menyenangkan rakyat terhadap sesuatu tindakan polis yang dilakukan dalam kapasiti profesional mereka.

Bagaimanapun, katanya kesilapan profesional tetap berlaku dalam mana-mana saja organisasi di dunia ini, cuma magnitud atau implikasinya sahaja yang berubah mengikut keadaan dan masa.

Katanya komunikasi interaktif melalui media sosial yang dilaksanakan PDRM membolehkan pasukan polis bertindak lebih pantas dalam semua hal yang diutarakan orang ramai secara maya.

"Facebook rasmi PDRM, umpamanya, menyalurkan maklumat yang diterima daripada orang ramai secara terus kepada kontinjen berkenaan untuk tindakan segera mereka dan perkhidmatan responsif itu telah mendatangkan manfaat kepada rakyat," katanya.

'Harimau Biru' maskot terkini PDRM

Hishammuddin berkata pelancaran maskot PDRM iaitu "Harimau Biru" pada tahun ini menjadi simbolik keberanian dan ketangkasan polis dalam menjaga kesejahteraan negara.

"Dengan adanya maskot itu, sudah tentu akan menonjolkan lagi identiti polis sebagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan terulung di negara ini," katanya.

Beliau berkata polis berada pada tahapnya sendiri dengan segala kemajuan dan penambahbaikan peralatan dan kemudahan termasuk siapnya menara utama Bukit Aman yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 12 April ini. - Bernama