Ahad, Mac 04, 2012

Awal semester 2, PMUKM komited perjuang masalah PTPTN


BANGI, 3 Mac - Komited memperjuangkan hak mahasiswa, Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) malam tadi telah mengadakan sesi dialog dan perjumpaan dengan para mahasiswa yang mengalami masalah berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN).

Sesi dialog yang berlangsung hampir satu jam setengah ini telah dikawalselia oleh saudara Presiden PMUKM, LT M Ahmad Muzzammil bin Muhd Hairi dan dibantu oleh Timbalannya Mohd Abdullah bin Mohamed Yusoff; Mohamad Ezuan (Setiausaha Agung) dan Pengerusi Biro Kebajikan & Aduan, saudara Mohd Izzuddin bin Mohd Pisol.

Kehadiran yang pada awalnya dijangka tidak sampai 50 orang rupa-rupanya meleset apabila kehadiran pada malam tadi secara keseluruhannya hampir memenuhi Auditorium Siswa.



Saudara Presiden menyampaikan taklimat berkaitan kaedah pengiraan hutang

'PTPTN tolak duit, tetapi hutang pengajian masih ada'


Isu yang hangat semalam dibangkitkan oleh mahasiswa adalah seperti duit RM 500 yang ditolak yang disangka pada awalnya kredit bayaran daripada wang pendahuluan RM 1500 ketika masuk sesi pengajian tahun 1 dahulu, dan dipotong sebanyak 3 kali sahaja (RM 500 x 3 kali = RM 1500).

Dakwaan tersebut rupanya meleset apabila pada semester ini, sejumlah RM 500 tetap dipotong daripada duit mahasiswa.

Ini menyebabkan mahasiswa mula tertanya-tanya dasar sistem yang diperkenalkan pihak PTPTN tersebut.



Saudara Izzuddin turut bersama-sama membantu rakan mahasiswa

Juga isu hangat yang dibangkitkan, mungkin berlaku kesilapan akibat kegagalan komunikasi antara pihak Bendahari UKM dan PTPTN apabila sesetengah pelajar sudah dipotong jumlah pinjaman (sekitar RM 2 ribu daripada jumlah penuh pinjaman RM 3500 per semester).

Ini menghairankan khususnya para pelajar yang berasal daripada keluarga kurang berada dan memerlukan duit pinjaman tersebut.

Ini juga sekaligus menimbulkan pertanyaan, ke manakah sebenarnya pergi duit yang kononnya sudah ditolak daripada jumlah penuh, tetapi perincian hutang masih menunjukkan keadaan sebaliknya.

PMUKM bakal usahakan pertemuan empat mata

PMUKM dalam pada itu memberi jaminan akan berusaha membawa isu ini ke pihak berkaitan. LT M Ahmad Muzzammil ketika ditemui memaklumkan, "(Bagi PMUKM) Ini bukanlah langkah akhir atau jalan penamat bagi masalah ini.

"Kita akan pastikan isu ini dibawa ke peringkat yang berautoriti supaya permasalahan kita (tanggung) bersama ini (berjaya) menemui jalan penyelesaian,"

Apa pun, kepada rakan-rakan mahasiswa yang masih mempunyai masalah-masalah berkaitan pinjaman PTPTN mahupun biasiswa boleh terus datang berurusan di Pejabat Urusan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) di Aras 3, Bangunan Pusanika UKM Bangi.

PMUKM optimis permasalahan ini akan lebih mampu berdaya diselesaikan dengan segera sekiranya lebih ramai suara mahasiswa yang berpadu dan bersatu dalam menyelesaikan isu ini bersama.


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI