Isnin, Mac 26, 2012

Malaysia penuhi komitmen Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear, ujar TPM

SEOUL, 26 MAC (BERNAMA) : Seluruh pemimpin dunia termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dijadualkan memulakan Sidang Kemuncak Nuklear di Seoul, hari ini.

Korea Selatan yang menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak itu dianjurkan bagi mencari jalan terhadap usaha menangani ancaman keganasan nuklear, termasuk perbincangan sampingan berhubung rancangan pembangunan atomik Korea Utara.

Mesyuarat dua hari itu adalah susulan daripada sidang kemuncak pertama yang dianjurkan AS pada 2010 di mana Washington adalah tuan rumah.

Pada malam sebelum sidang kemuncak di Seoul, Obama mengumumkan di depan pemimpin dan pegawai tertinggi daripada 53 negara, bahawa Ukraine sudah menunaikan janji mereka dua tahun lalu bagi memindahkan kesemua uranium daripada negara itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai perwakilan Malaysia berkata, kerajaan sedang di peringkat akhir meminda Akta Pelesenan Tenaga Atom untuk menjadikannya satu undang nuklear yang menyeluruh.



Beliau berkata, Malaysia sentiasa berusaha mengukuhkan bentuk kawalan eksport global, dan dalam hal ini, Akta Perdagangan Strategik (STA) dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2011.

"Undang-undang ini membolehkan Malaysia menyumbang kepada usaha global bagi membendung kegiatan menghasilkan senjata kemusnahan besar-besaran," katanya.

Melalui peruntukan undang-undang tersebut, ia membolehkan Malaysia menerima pakai Konvensyen Perlindungan Fizikal Bahan Nuklear (CPPNM), Konvensyen Antarabangsa Bagi Membanteras Kegiatan Keganasan Nuklear (ICSANT) dan Protokol Tambahan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta pelbagai peraturan yang ditetapkan oleh IAEA.

Muhyiddin berkata, Malaysia bersetuju menerima pakai Kenyataan Prinsip Bagi Inisiatif Global Membanteras Keganasan Nuklear (GICNT).

Dalam usaha membendung penyeludupan pula, Malaysia melaksanakan Inisiatif Keselamatan Kontena (CSI) dan Inisiatif Pelabuhan Mega selain menyokong peraturan IAEA mengenai Keselamatan Sumber Radioaktif dan Garis Panduan Mengimport dan Mengeksport Bahan Radioaktif.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia terus bekerjasama dengan IAEA dan negara lain, sama ada secara dua hala atau di peringkat serantau, bagi meningkatkan latihan dan kesedaran serta kemampuan, sama ada untuk rakyat Malaysia mahupun dari negara lain.

Malaysia sudah menganjur pelbagai program antarabangsa, serantau dan dua hala berkaitan keselamatan nuklear. Pusat Sokongan Keselamatan Nuklear di Malaysia yang diiktiraf oleh IAEA berfungsi sebagai sebuah pusat latihan serantau,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia mendapat manfaat daripada kerjasamanya dengan negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun dan Jerman serta juga Suruhanjaya Eropah.

Muhyiddin berkata, Malaysia sedang menuju ke arah meluaskan penggunaan teknologi nuklear secara aman bagi penjanaan tenaga elektrik.

"Malaysia mahu memastikan penggunaan teknologi nuklear secara selamat, terjamin dan aman," katanya. - BERNAMA