Ahad, Disember 11, 2011

Rencana Khas : Lima tahun Malaysia aman dan makmur

Sumber : Utusan Online


HARI ini merupakan hari terakhir Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, memegang takhta.

Seri Paduka bakal digantikan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Mengikut sistem penggiliran yang berlangsung setiap lima tahun dan diamalkan sejak merdeka, Seri Paduka telah dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2006.

Seri Paduka menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang menaiki takhta pada 13 Disember 2001.

Secara hakikatnya, Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Pemerintah

Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Seri Paduka adalah Pemerintah Tertinggi  Angkatan Tentera Negara. Selain itu, Seri Paduka akan menjalankan tugas-tugas di bawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Berdasarkan Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa, hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Seri Paduka juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen.

Sultan Mizan Zainal Abidin, 49, merupakan Raja Melayu termuda menaiki takhta pada usia 36 tahun pada 1998. Seri Paduka juga melakar sejarah sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua termuda.

Pencapaian Negara

Sepanjang lima tahun pemerintahan Seri Paduka, negara telah mencatat beberapa peristiwa bersejarah yang menyumbang kepada kejayaan negara di mata dunia. Semua ini memperlihatkan nama Malaysia di persada dunia terus dikagumi dan dihormati. Antaranya sekalipun berlaku perubahan politik selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12) tetapi negara tetap stabil.

Peralihan kepimpinan daripada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berlaku dengan licin dan sempurna pada era Seri Paduka.

Muda

Semasa berusia 17 tahun Seri Paduka telah dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Muda bagi Negeri Terengganu.

Sultan Mizan meneruskan amalan almarhum ayahandanya yang suka bersedekah kepada kanak-kanak dan fakir miskin pada setiap hari Jumaat.

Keprihatinan ini telah mendorong Seri Paduka menubuhkan Yayasan Diraja Sultan Mizan yang dilancarkan pada tahun 2005 bersempena hari ulang tahun ke-43 keputeraan Seri Paduka.

Yayasan Diraja itu membantu menganjur dan membiayai pelbagai usaha termasuk dalam bidang penyelidikan, sains teknologi, inovasi, perhutanan, pertanian, perikanan dan kemasyarakatan.

Berkhidmat

Kehidupan Seri Paduka tidak hanya terbatas dalam istana semata-mata. Seri Paduka pernah berkhidmat sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah, Pegawai Tadbir Tanah Daerah di Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu dan Unit Perancangan Ekonomi negeri untuk menimba pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Sultan Mizan Zainal Abidin juga pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada 1991 hingga 1995.

Seri Paduka turut meluangkan masa untuk aktiviti sukan dan riadah. Seri Paduka, semasa zaman remaja menaruh minat yang tinggi dalam sukan seperti menunggang kuda, bola sepak, selam skuba, golf dan taekwando.

Seri Paduka banyak terlibat dalam menyertai pertandingan Endurance Ride yang dianjurkan sama ada di dalam negara atau di luar negara.

Malah sebuah Pusat Ekuestrian bertaraf antarabangsa telah dibina di Kuala Ibai, Kuala Terengganu yang turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan rekreasi dan sukan.

Terserlah

Kehandalan Seri Paduka dalam sukan berkenaan terserlah apabila menjuarai acara Wilga 80 kilometer Endurance Ride, dan pertandingan berkuda di Harris River Ride, Australia pada 2004.

Seri Paduka turut terpilih mewakili negara pada Sukan Asia di Doha, Qatar, tetapi terpaksa menarik diri memandangkan tarikh kejohanan itu bertembung dengan upacara pengisytiharan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Daulat Tuanku!