Kuala Lumpur, 10 Dis : Kementerian Pengajian Tinggi semalam memaklumkan pelaksanaan pemberian baucar buku bernilai RM200 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa Pembentangan Bajet 2012 lalu.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin, pemberian baucer berkenaan hanya layak kepada pelajar IPTA, IPTS, Politeknik, Matrikulasi/Asasi Sains dan pelajar Tingkatan 6.
“Pemberian itu layak kepada semua pelajar warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pelajar aktif di IPTA, IPTS dan Politeknik mengikuti pengajian pada peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Ph.D.
“Selain itu, pelajar matrikulasi/asasi dan pengajian persediaan termasuk pelajar di Tingkatan 6 secara sepenuh masa dan separuh masa di institusi pengajian tinggi dalam negeri pada Januari 2012 juga layak mendapat baucar buku bernilai RM200.”
Mula diberi Januari 2012
Menurut kenyataan beliau lagi, pengagihan baucar buku kepada pelajar-pelajar dibuat melalui IPTA, IPTS, Politeknik dan sekolah hanya akan diberikan mulai Januari 2012 melalui IPT dan sekolah masing-masing.
“Saya dah gesa semua IPT untuk sediakan senarai nama pelajar, berserta Nombor Kad Pengenalan dan Nombor Metrik / Nombor Pendaftaran mereka yang layak.
“Dan setiap pelajar perlu memastikan nama, no. kad pengenalan dan cop IPT masing-masing diisikan pada setiap keping baucar yang bernilai RM50.00 setiap keping.
“Baucar buku boleh ditebus di semua kedai buku yang menyertai program ini dan penyertaan kedai buku adalah terbuka kepada semua.
Tidak boleh ditukar tunai
Tambahnya, baucar tersebut adalah untuk pembelian buku–buku akademik, jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing.
“Tuntutan bayaran balik baucar akan dibuat oleh kedai buku terus kepada Bank Simpanan Nasional (BSN). Tetapi, tuntutan hanya boleh dilakukan sehingga 30 April 2012.
“Dan tempoh masa sah laku baucar buku ini adalah selama tiga bulan mulai daripada 1 Januari hingga 31 Mac 2012.
“Diingatkan, para pelajar tidak dibenarkan sama sekali menebus baucar buku ini dengan wang tunai.”