Ahad, Disember 18, 2011

Baucer sah sehingga 31 Mac 2012, kata DS Khaled

Putrajaya, 17 Dis : Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan kesemua pelajar warga Malaysia yang aktif dan berdaftar dalam tempoh Januari hingga Mac tahun depan di institusi pengajian awam dan swasta (IPTA/S), politeknik, matrikulasi/asasi mahu pun di peringkat pengajian persediaan, bakal layak menerima baucar buku bernilai RM200 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012.

Pengumuman ini bagaimanapun tertakluk kepada syarat pelajar tersebut mendaftarkan diri dan berstatus aktif di pusat pengajian masing-masing sebelum hujung Mac 2012.


Pemberian baucar tersebut juga diberikan tanpa mengira penuntut itu mengikuti pengajian pada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan pun Doktor Falsafah (PhD) secara sepenuh masa atau pun sebaliknya.

Seorang penuntut akan mendapat empat baucar bernilai RM50 sekeping dan mereka hanya dibenarkan membeli buku akademik, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing,” tambahnya.

Baucar tidak dapat dipalsu
Dalam pada itu, baucar buku RM200 untuk para pelajar tersebut juga bakal dilengkapi pelbagai ciri keselamatan bagi mengelak ia dipalsukan.

Ujar beliau, baucer tersebut dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad, dan ciri-ciri keselamatan yang sama boleh didapati pada baucar RM500 yang turut disediakan untuk isi rumah yang berpendapatan bawah RM3000 sebulan, yang turut diumumkan dalam Bajet 2012.

Baucar itu, tambah beliau memiliki tempoh sah lakunya dari 1 Jan hingga 31 Mac tahun depan.

Baucer tersebut juga boleh ditebus di semua kedai buku yang menyertai program tersebut dan hendaklah digunakan bagi membeli buku-buku akademik, jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan pengajian masing-masing.