Bangi, 2 Dis - Satu pertemuan di antara pemimpin pelajar daripada Universiti Padang, Indonesia bersama-sama dengan Majlis Perwakilan Pelajar UKM yang diketuai Timbalan Presiden PMUKM, saudara Mohd Abdullah Bin Mohamed Yusoff yang juga Pengerusi Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan (GMPK), saudara Mohd Faizal Bin Ahmad selaku Naib Presiden III PMUKM dan saudara Muhammad Harith Bin Abd Kadir selaku Pengerusi Biro Sukan dan Rekreasi telah diadakan di Bilik Gerakan Hal Ehwal Pelajar, Bangunan Pusanika.
Turut bersama-sama dengan pertemuan ini adalah Persatuan Pelajar Indonesia Universiti Kebangsaan Malaysia (PEPI UKM) yang diwakili oleh Presidennya sendiri iaitu saudara Arif Murti, yang juga pengerusi Majlis bagi pertemuan antara pimpinan pelajar Indonesia dan PMUKM.
Delegasi pelajar Indonesia yang diketuai oleh saudara Tomy Devista pada kali ini bertujuan membincangkan soal pendidikan, gaya kepimpinan mahasiswa dan penglibatan mahasiswa di dalam persada nasional di antara dua negara dari kaca mata mahasiswa.
Latar belakang sistem pendidikan Malaysia
Untuk permulaan perbincangan, saudara Mohd Abdullah memberikan sedikit sebanyak gambaran pendidikan yang berada di Malaysia. Di Malaysia soal pendidikan amat diutamakan dalam konteks pembinaan generasi modal insan yang berguna. Selain itu soal pertahanan juga amat dititikberatkan untuk memastikan negara sentiasa dalam keadaan selamat dan sejahtera.
Menyambung perbincangan, Sdr Arif Murti memberikan sedikit sebanyak pengalaman beliau semasa memimpin Persatuan Pelajar Indonesia di UKM. Di sini pentingnya soal diplomasi dengan semua pegawai-pegawai dan pimpinan pelajar di UKM supaya PEPI UKM dapat diterima dan disenangi oleh semua warga UKM.
PEPI UKM juga secara langsung terlibat dengan kegiatan di UKM seperti penglibatan dalam kurusus pengurusan organisasi “1Malaysia Youth Training & Leadership” PMUKM 2011 , Pesta Konvokesyen ke-39 UKM, penganjuran futsal dan bermacam-macam lagi.Beliau juga memaklumkan, PEPI UKM tiada masalah dengan pelbagai pihak di UKM dalam menganjurkan dan menggunakan sebarang aktiviti dan kemudahan di UKM sekiranya mengikut keperluan prosedur.
'Isu pendidikan isu nasional' - MPP Faizal
Memanaskan lagi diskusi pendidikan ini, saudara Mohd Faizal menyatakan soal pendidikan adalah luas pendefinasiannya. Apa pun beliau mengaitkan perihal pendidikan sewajarnya merangkumi tiga aspek utama di dalam diri mahasiswa iaitu soal idealisme, aktivisme dan intelektualisme sebagaimana idea Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah melalui bukunya iaitu “Kalau Saya Mahasiswa” .
Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia untuk memartabatkan semula Bahasa Melayu sebgai bahasa utama dalam pengajaran Sains dan Matematik menjelang tahun 2012 turut dipuji.
Tan Sri Muhyiddin juga dilihat menghormati suara golongan pendidik khasnya yang kebanyakan mereka mahu supaya pembelajaran Sains dan Matematik diadakan dalam Bahasa Melayu. Di dalam responnya, saudara Faizal melahirkan pandangan sekiranya Bahasa Inggeris tetap dijadikan sebagai bahasa utama pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah yang bakal menyebabkan timbulnya jurang akademik yang begitu besar di antara bandar dan luar bandar.
"Mahasiswa Indonesia vokal"
Presiden Persatuan Mahasiwa Universiti Padang, saudara Tomy Devista memberikan pandangan bahawasanya di Indonesia mereka kadangkala dilihat lantang dalam membincangkan isu pendidikan di sana.
Pernah juga mahasiswa di Indonesia bertindak melakukan demonstrasi untuk menyampaikan hasrat dan kritikan mereka kepada pemimpin negara apabila berlaku percanggahan idea dan falsafah yang ketara di antara pelajar dan pemimpin negara.
Soal demonstrasi di Indonesia merupakan perkara biasa yang dianggap salah satu cabang intelektualisme dalam menyampaikan salah satu perkara, ulas saudara Tomy.
Isu bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan juga dimaklumkan telah diperjuangkan semenjak 1928 lagi, berbeza dengan isu bahasa Melayu di Malaysia. Ini menggambarkan usaha kesedaran dan komited yang terlebih awal dilakukan di negara Indonesia.
Mengakhiri perbincangan tersebut, saudara Mohd Abdullah dengan menggambarkan kerajaan 'mahasiwa' bergantung kepada kekuatan pihak yang bertanding.
Dari sudut nasional pula, isu Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) turut menarik perhatian untuk dibincangkan, sementelah tindakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang baru-baru mengumumkan akan menggubal Seksyen 15 AUKU yang menyentuh perihal kebebasan mahasiswa berpolitik.