Isnin, Disember 12, 2011

NewsPortal : Pendidikan Negara Perlu Revolusi

*Berita ditulis di Portal Berita UKM oleh Shahfizal Musa


BANGI - Keseluruhan sistem pendidikan dalam negara yang terlalu beorientasikan peperiksaan perlu mengalami suatu revolusi demi memupuk perkembangan bakat dalam usaha membangunkan modal insan secara berkesan.

Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong berkata orientasi pelajaran yang wujud dalam negara sekarang menjadi penghalang perkembangan bakat selain menyebabkan keciciran pelajar.

Prof Abdul Rahman mengalu-alukan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk mengkaji semula secara menyeluruh sistem, dasar dan kurikulum pendidikan bagi memulihkannya supaya tidak lagi berorientasikan peperiksaan.
Bahkan beliau mencadangkan suatu revolusi pendidikan sebagimana pernah disarankan Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada Jan 2004 ketika menjadi Perdana Menteri guna membangunakan modal insan secara berkesan.

Beliau berkata sistem yang ada sekarang baik di sekolah mahu pun universiti terlalu berorientasikan peperiksaan hingga telah memakan diri kerana ia telah menjadi faktor yang tidak dapat memberi kekuatan kepada pelajar hingga membawa kepada keciciran mereka.

Sistem pendidikan tidak seimbangi gender
Berucap di Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia (SKIM) 2011 di sini atas tajuk ‘Pemerkasaan Modal Insan: Ke Arah Kesejahteraan Serantau’, di sini baru-baru ini beliau berkata kepincangan sistem pendidikan di peringkat sekolah telah menyebabkan ketidakseimbangan gender di peringkat pengajian tinggi, di mana buat beberapa tahun kebelakangan ini pelajar perempuan telah berganda dari pelajar lelaki memasuki universiti.

Prof Abdul Rahman berkata sebab musabab dan implikasi daripada keadaan yang pincang itu perlu diteliti dan dicari jalan keluar.

Simposium dua hari itu di anjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universitas Padjajaran (UNPAD) Indonesia.

Pendidikan tinggi perlu inovasi
Dalam pengajian tinggi pula beliau berkata pembelajaran harus keluar dari kekangan sempadan atau bersifat tempatan demi kesejahteraan serantau.

Projek-projek penelitian harus bersifat komparatif rentas negara supaya ufuk pemikiran pelajar dapat dikembangkan.

Beliau juga menyentuh soal integriti yang kini banyak terfokus kepada ahli politik dan berpendapat bahawa ia perlu diperluaskan kepada ahli akademik dan pembelajaran dalam usaha mentransformasikan sumber manusia.

Perluasan perhatian demikian itu perlu kerana bidang akademik dan pelajaran juga harus mempunyai integriti.

Integriti dalam bidang akademik
Penilaian integriti dalam bidang pembelajaran dan akademik harus merangkumi kajian mengenai trend peruntukan atau pembahagian kewangan serta perbelanjaannya untuk pendidikan dalam tempoh sepuluh tahun lebih yang lepas.

Kajian itu akan dapat memberi gambaran apakah pengagihannya menepati sasaran atau apakah terdapat kebocoran atau perlakuan rasuah dalam pelaksanaan projek pendidikan.

Beliau menarik perhatian kepada penipuan akademik yang terjadi di peringkat antarabangsa yang dilaporkan dalam New York Times pada 2 November 2011.

Laporan itu membongkar penipuan terbaru dalam bidang akademik oleh penyelidik psikologi Belanda yang memalsukan data dalam puluhan kertasnya. (lihat Benedict Carey, “Fraud Case Seen as Red Flag for Research”).

Beliau berkata tanpa memiliki nilai moral yang baik, seorang yang berilmu dan mempunyai kemahiran boleh membawa bencana kepada keluarga, masyarakat dan negara apabila dia menjadi tamak, gila kuasa, penipu, perasuah, penjenayah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Turut hadir di simposium itu adalah Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Dekan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UKM, Prof Dr Hazita Azman dan Direktur Kerjasama UNPAD, Prof Dr Ramdan Panigoro.