Jumaat, Disember 02, 2011

PMUKM ziarahi saudari Sarizan

Bangi, 2 Dis. - Agenda kebajikan terus menjadi perhatian Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) sesi kali ini. Terbaru, kemalangan yang menimpa saudari Sarizan bt Sabari; mahasiswi tahun akhir program kursus Oleokimia dari Fakulti Sains & Teknologi (FST) telah menggamit kehadiran Pengerusi Biro Kebajikan & Aduan, saudara Mohd Izzuddin bin Mohd Pisol bersama saudara Kamarul Hatem bin Muhammad untuk menziarahi mangsa di hospital.

Bersama-sama abang mangsa saudari Sarizan

Mengikut khabar yang disampaikan, kejadian malang tersebut berlaku sekitar 12.30 tengah hari Selasa, 29 November yang lalu ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke kolej kediaman.

Mangsa didakwa telah dilanggar oleh sebuah motosikal ketika berjalan di laluan belakang Pusanika. Mangsa selepas dilanggar dikatakan terjatuh dan terbaring dengan kecederaan yang teruk di kepala. 


Laporan doktor, menurut abangnya yang turut hadir menemani di hospital menunjukkan bahawa saudari Sarizan mengalami darah beku di kepala menyebabkan beliau terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku tersebut untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.

Peristiwa yang berlaku ini diharapkan membuka mata semua mahasiswa untuk menjadi lebih prihatin dan mengambil berat terhadap isu kebajikan diri dan rakan-rakan mahasiswa.

Barisan kepimpinan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) bersama-sama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (PMFST) ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga buat semua yang sudi membantu dalam menyampaikan idea dan maklumat secara terus.