Kota Bharu, 2 Dis : Kegawatan ekonomi yang kini melanda negara-negara kapitalis termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun adalah angkara sistem ekonomi ciptaan sendiri yang mengenepikan nilai-nilai agama.
Profesor Fakulti Perniagaan dan Akaun Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Nazari Ismail berkata, akibat menolak sistem kewangan Islam negara-negara barat kini menjadi mangsa kepada keadaan.
“Kita seharusnya bersyukur apabila melaksanakan syariat Allah dijanjikan-Nya kehidupan manusia lebih selamat,” katanya pada Syarahan Perdana Ekonomi bertajuk 'Krisis Ekonomi Global: Kesan dan Penyelesaiannya' di Kota Darulnaim semalam.
Program itu dianjur kerajaan negeri dirasmikan Menteri Besar Kelantan. Turut hadir anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan negeri.
Krisis sejak 2008 belum selesai
Dr Mohd Nazari berkata, rakyat Amerika kini berdepan krisis kewangan yang tenat, di mana berpuluh ribu dibuang kerja dalam pelbagai sektor sama ada kerajaan atau swasta.
Katanya, sebanyak 16 peratus daripada 49 juta rakyat Amerika sekarang berada di bawah garis kemiskinan.
“Krisis ekonomi bermula sejak 2008 sehingga sekarang belum ada jalan penyelesaiannya. Ini menyebabkan Amerika menanggung hutang negara pada tahap yang teruk,” ujar beliau.
Tambah beliau fenomena itu menyebabkan ada rakyatnya terpaksa mendirikan khemah di pinggir hutan atau di tempat yang dikira sesuai untuk berteduh.
Malah katanya, Jepun juga sebelum ini terkenal sebagai negara maju turut menghadapi krisis di mana ramai pekerja kilang dibuang kerja.
Menurutnya beliau ekonomi global hanya akan kembali berada di landasannya apabila sistem kewangan Islam diterima secara menyeluruh. – GZDaily