Khabar terbaru dari dunia seni hiburan agak memeranjatkan apabila berkuatkuasa mulai tahun hadapan, Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak lagi berkuasa menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya peranan tersebut akan diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem itu sendiri.
Pengumuman terbaru yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam muncul selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara.
Masalah tanggungjawab penerbit & pengarah filem
Jelas beliau, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu bertanggungjawab.
"Suka saya tegaskan, mereka perlu bertanggungjawab dengan segala masalah yang timbul ekoran penerbitan filem mereka. Oleh itu mereka sendiri perlu menilai cita rasa penonton di negara ini.
"Dengan kelulusan cadangan tersebut, saya harap semua pihak mengambil iktibar dan tidak mengunakan kelonggaran tersebut sebagai batu loncatan untuk memasukkan adegan-adegan yang melampau dalam sesebuah filem demi untuk mengaut keuntungan semata-mata," tambah beliau.
Kementerian ingin bersikap terbuka
Menurutnya keputusan itu dibuat kerana kementerian ingin bersikap lebih terbuka dan tidak ingin menjadi penghalang kepada proses kemajuan industri filem yang menelan perbelanjaan yang tinggi.
"Bagaimanapun, notis peringatan daripada kementerian, bahagian kawalan filem, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) akan dipaparkan pada skrin semasa penayangan filem itu untuk memaklumkan filem itu ada unsur khurafat, seks atau sebagainya," katanya lagi.
Respon Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM)
Biarpun isu ini dilihat sebagai suatu 'dimensi' baru yang dibawa oleh Kementerian Dalam Negeri dan LPF berhubung dengan persoalan penapisan ini, namun di peringkat mahasiswa, kita mengharapkan pihak berwajib tidak 'lepas tangan' dan 'cuci kaki' apabila terdapat masalah-masalah moral berbangkit.
Soal nilai khurafat dan syirik serta adegan-adegan tidak senonoh yang semakin banyak di dalam filem-filem yang ditayangkan sebelum ini masih tidak mendapat penjelasan; itupun semasa masih ada LPF (Lembaga Penapisan Filem), maka bayangkan apabila LPF tidak memainkan peranannya, maka lebih banyak adegan tidak bermoral dan syirik bakal berada di panggung wayang.
Juga di pihak PMUKM, kita tidak melihat isu penapisan filem bakal menghalang kreativiti penerbit filem, kerana sekiranya tanpa garis panduan dan penapisan oleh pihak berwajib, maka akan bebaslah penerbit filem sesuka hati menghasilkan filem-filem yang 'tidak berakhlak'.
Justeru itu, LPF dan pihak berwajib lain diminta masih memantau dan menyelaraskan garis panduan ini sungguhpun ingin memberi kemudahan kepada pengusaha industri perfileman negara.