Kuala Lumpur, 8 Dis : Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju menganjurkan sidang mesyuarat meja bulat mengenai pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti atau singkatannya AUKU, Sabtu minggu hadapan, 17 Disember di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, hasil resolusi daripada mesyuarat yang bakal dihadiri wakil persatuan utama pelajar, Majlis Profesor Negara, badan-badan bukan kerajaan (NGO), wakil dari parti politik dan Majlis Peguam, akan diambil perhatian yang serius dan dibawa kepada anggota jawatankuasa yang akan meminda AUKU.
Jelas beliau lagi, mesyuarat meja bulat itu diharapkan bakal menjadi platform paling sesuai dan relevan kepada para peserta untuk memberi pandangan, cadangan dan maklumbalas mengenai isu akta tersebut yang kini semakin hangat dibincangkan di mana-mana.
Datuk Saifuddin mengesahkan akan mempengerusikan sesi mesyuarat meja bulat tersebut.
Menteri akan umum pengerusi, AJK pindaan AUKU
Ditanya siapakah akan menjadi pengerusi dan para anggota jawatankuasa yang akan meminda AUKU yang akan ditubuhkan kelak, Datuk Saifuddin memaklumkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengumumkan perkara tersebut pada masa terdekat.
Tambah beliau apabila ditanya soal keperluan dan masa, beliau menjelaskan “Sekarang adalah waktu terbaik untuk membincangkan mengenai akta berkenaan, kerana pindaan terhadap akta tersebut hanya akan siap pada sesi mesyuarat pertama Dewan Rakyat pada bulan Mac tahun depan (2012)."
Akta IPTS, kualiti universiti turut diperbincangkan
Selain itu, mesyuarat itu juga akan turut membincangkan mengenai bagaimana untuk menambahbaik kualiti universiti, Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta, Akta Institusi dan beberapa perkara lain membabitkan institusi pengajian tinggi, katanya.
Maklumat lanjut mengenai mesyuarat meja bulat itu boleh diperolehi dengan menghubungi Mohd Nazri Noh di talian 019-2660672 atau Fadzmel Fadzil (013-3402203).