Khamis, Disember 08, 2011

Analisa isu lambakan pelajar asing

Pelajar asing di UKM - Sekadar gambar hiasan
Dewan Rakyat dimaklumkan kemasukan pelajar-pelajar asing ke Malaysia sehingga 31 Disember tahun lalu mencecah hampir 80,700 pelajar asing dari lebih 150 buah negara. Daripada jumlah itu 22,400 menuntut di instituti pengajian tinggi awam manakala bakinya, 58 300 di institusi pengajian tinggi swasta.

“Ini bermakna, Kementerian Pengajian Tinggi berjaya mendahului sasaran 80,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2010. Data yang diperolehi daripada Kementerian Pelajaran Malaysia menunjukkan bahawa bilangan pengambilan pelajar antarabangsa di 51 sekolah antarabangsa di seluruh negara ialah hampir 16,600 orang,” ujar Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung yang dipetik Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) ketika memberitahu Dewan Rakyat 30 Mac yang lalu.

KPTM perkemas kriteria pengambilan
Kepada soalan lain Hou berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah berhubung pelajar asing seperti memperkemas kriteria-kriteria pengambilan melalui garis panduan permohonan persekutuan pelajar antarabangsa ke IPTS dalam negara.

Ini kerana menurut beliau, secara umum jumlah kes jenayah yang membabitkan pelajar antarabangsa adalah kecil.

Katanya berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia 2009, jumlah kes jenayah kekerasan melibatkan pelajar antarabangsa ialah 17 kes, iaitu enam kes ugutan jenayah, empat kes merusuh, tiga kes curi, dua kes cabul, satu kes rogol dan satu kes mendatangkan cedera.

“Selain itu sehingga 30 November tahun lepas pihak Kementerian Dalam Negeri menarik balik lesen pengambilan pelajar antarabangsa yang dimiliki oleh 29 IPTS ekoran pelbagai kesalahan seperti mengambil pelajar antarabangsa untuk kursus yang belum memperolehi akreditasi profesional, tidak lagi beroperasi di premis yang didaftarkan dan tiada unit hal ehwal pelajar antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata IPTS juga perlu memaklumkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan kementerian mengenai pelajar yang tidak hadir ke kuliah bagi tiga hari berturut-turut atau kehadiran kurang daripada 80 peratus, CGPA kurang daripada 2 atau gagal peperiksaan serta tamat pengajian dan pulang ke negara asal.

Lambakan pelajar asing - satu bebanan ?
Isu pelajar asing kebelakangan ini hangat dibincangkan ekoran beberapa kes jenayah yang dikatakan begitu serius sehingga mampu mengancam ketenteraman masyarakat setempat.

Berdasarkan gambarajah di bawah, dengan jumlah enrolmen pelajar asing yang berada di Malaysia sepanjang 2003-2007, ia sedikit sebanyak agak menggusarkan dari segi keselamatan rakyat mahu pun keseimbangan sosio-politik negara.

Lantaran itu, amaran oleh Menteri yang bertanggungjawab baru-baru ini ada benarnya.

IPT terbabit perlu bertanggungjawab
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengulas isu ini berkata, ketika ini banyak masalah ditimbulkan pelajar terbabit dan IPT khususnya dari pihak swasta yang terbabit perlu memainkan peranan dalam membendung gejala yang tidak sihat di kalangan pelajar tanggungan mereka.

Beliau mengulas tindakan Jabatan Imigresen menahan beberapa pelajar asing baru-baru ini kerana melanggar undang-undang negara termasuk visa yang tamat tempoh dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini.

Pada 22 November lalu pula, polis yang menahan 75 warga Afrika kerana disyaki terlibat dengan penipuan dalam talian mengesahkan kesemua mereka adalah pelajar kolej swasta.

Menurut Mohamed Khaled, IPTS yang gagal mengawal pelajar asing di institusi masing-masing boleh ditarik balik kebenaran untuk mengambil pelajar antarabangsa.

“Bagaimanapun kita tidak mengambil tindakan drastik tersebut demi untuk melihat mereka lebih bertanggungjawab dalam membendung masalah yang ditimbulkan pelajar asing,” tambah beliau.