Khamis, Disember 15, 2011

MPP Siswazah ke KPT, pohon penjelasan kelewatan Biasiswa MyBrain

PUTRAJAYA - Berikutan terdapat aduan berkaitan kelewatan penerimaan Biasiswa MyBrain, MPP siswazah UKM, Saudara Mohd Arif bin Misrol telah pergi ke Unit Biasiswa KPT untuk mendapatkan penjelasan tentang perkara tersebut.

Bertempat di Pejabat KPT, Presint 5, Putrajaya, pihak KPT diwakili oleh Cik Ezzatul dan Cik Fiza, sebagai pegawai atau individu yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Biasiswa MyBrain. 



Dalam pertemuan tersebut, pihak KPT telah menjelaskan perkara-perkara berikut :

1. Keputusan permohonan Biasiswa MyBrain akan diumumkan secara rasmi dengan meng'log in' dalam laman web rasmi https://payloan.mohe.gov.my/MyBrain15/index_login.php.

2. Sekiranya berlaku kelewatan pembiayaan, ia mungkin disebabkan faktor-faktor berikut:
i. Sekiranya beliau sudah memohon dan mendapat pembiayaan, borang permohonan yang dihantar tidak lengkap;
ii. Pemohon tidak menyerahkan salinan surat/dokumen yang disyaratkan kepada Bendahari UKM;
iii. Kelewatan dan keciciran yang berlaku dalam sistem yang ada.
iv. Pihak universiti tidak menghantar invois kepada pihak KPT.

3. Keputusan terbaru untuk permohonan Biasiswa MyBrain telah diumumkan pada 23 November yang lepas. 

4. Pengesahan pembiayaan biasiswa dijadualkan selesai selepas 2 minggu tarikh pengumuman keputusan permohonan. Walau bagaimanapun, jumlah pembiayaan yang besar (+-3000) menyebabkan berlaku kelewatan. Dalam kes UKM, pihak KPT belum menyelesaikan lagi pembiayaan kepada pihak Bendahari UKM (Bahasa mudah, KPT tak bank in lagi).

5. Berkaitan dengan bidang-bidang yang tidak terdapat dalam sektor yang diutamakan oleh KPT, pemohon boleh memohon semula kerana keputusan permohonan tersebut ditentukan oleh bahagian Biasiswa KPT.

Apabila ditanyakan tentang jaminan untuk menyelesaikan kelewatan ini, pihak yang ditemui tidak dapat memberikan satu tarikh yang jelas. 



Saudara Arif berkata;"Kita (PMUKM) akan tengok sehingga 2 minggu lagi. Jika kelewatan ini, jika pemohon sudah menyelesaikan semua prosedur dan syarat-syarat yang ada, barangkali kelicinan sistem yang dipersoalkan. Pada waktu itu, kita akan pergi ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

"Kita harap para pelajar pasca siswazah yang mengalami masalah seperti ini dapat menghubungi MPP Siswazah UKM supaya kami dapat membawa perkara ini terus ke Putrajaya dan dapat diselesaikan 'by detail'. 

Dalam pertemuan tersebut,saudara Arif juga telah mencadangkan agar had saiz dokumen yang perlu dinaikturun (upload) semasa permohonan perlu ditambah kepada nilai yang munasabah.

"Agak sukar untuk meng'upload' dokumen-dokumen yang diminta dengan had saiz yang ditetapkan pada masa ini. Ada pemohon yang terpaksa meng'edit' dahulu dalam Adobe Photoshop untuk mengecilkan saiz gambar dan dokumen.


Menurut pihak KPT, Program Biasiswa MyBrain akan berterusan sehingga 2015.