Sabtu, Mei 21, 2011

Al-Fatihah. Dari-Nya kita datang, dan kepada-Nya kita kembali...

KAJANG 21 Mei : Kira-kira 20 hingga 30 penghuni Rumah Anak Yatim Al- Taqwa Felcra Semungkis Hulu Langat, Selangor berdekatan Sungai Gahal, Hulu Langat dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh petang tadi.

Dalam kejadian pada 2.30 petang ini, difahamkan seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu berada dewan makan rumah anak-anak yatim itu sedang membuat latihan persembahan bagi satu program yang akan diadakan di rumah tersebut. Mereka dikhuatiri tertimbus di dalam runtuhan tanah yang meranapkan khemah yang dipasang untuk persiapan majlis tersebut yang dijadual pada 5 petang ini.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Che Rosli Che Mat, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung mengeluarkan mayat dan mangsa yang cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pula dalam satu sidang akhbar di sini berkata, 14 mangsa masih terperangkap dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja.

Dalam insiden malang itu, sebanyak 25 orang terselamat sementara 20 pelajar dan 4 penjaga menjadi mangsa.

Tambah beliau, kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya.

Menurut sumber Berita Harian Online yang dikemaskini pada pukul 10.40 malam tadi, sehingga kini seramai 10 lagi mangsa masih tertimbus dalam runtuhan itu. Operasi mencari dan menyelamat oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) diteruskan sehingga semua mangsa ditemui.



Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pukul 6 petang tadi juga telah mengarahkan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian tanah runtuh di Hulu Langat untuk memberi bantuan segera.

Ini dinyatakan Khalid dalam laman Twitternya, petang tadi.

Abdul Khalid berkata ” Telah arahkan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian tanah runtuh untuk beri bantuan segera.”


Juga memetik twitter Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Husin berkata “Tanah Runtuh Bt 14- Yayasan Amal dan Bridged Amal yg diketuai YB Dr Ahmad Yunus akan memberi bantuan. Kerajaan Negeri akan menubuhkan tabung bantuan bencana bagi membantu mangsa. semoga diberi kekuatan dan kesabaran..”

Video dan gambar-gambar tragedi tersebut boleh dilihat seperti di bawah:





Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) dalam pada itu merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa tragedi ini. Semoga keluarga mangsa dan mangsa yang terselamat tabah dan sabar menempuhi dugaan yang melanda ini. Juga PMUKM menyeru kepada para pembaca untuk menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada mangsa-mangsa yang telah kembali ke rahmatullah.

Al-Fatihah.