Khamis, Mei 26, 2011

BENGKEL OKU : Sejauh mana dasar 1% bagi golongan OKU dipenuhi kerajaan ?


Pada 18 Mei yang lalu, satu bengkel persiapan kerjaya bagi mahasiswa 'orang kelainan upaya' (OKU) telah diadakan di Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MAKPEM) di Sentul, Kuala Lumpur. Rombongan mahasiswa UKM ke bengkel tersebut telah diketuai oleh saudara Mohammad Abdullah Bin Mohamed Yusuf, Timbalan Presiden PMUKM selaku wakil daripada PMUKM serta Siti Haslina dan Nora daripada pelajar master UKM.

Fokus utama bengkel tersebut diadakan adalah bagi mendedahkan mahasiswa OKU berkaitan jawatan yang disediakan serta isu-isu berkaitan kerjaya golongan OKU yang seringkali dibangkit.

“Persoalan utama bagi golongan kelainan upaya ( OKU) untuk berjaya adalah persepsi, maka keperluan bagi OKU adalah memecah persepsi sehingga kemampuan membuat advokasi kendiri. OKU perlu bersifat assertif. Bukan menuntut hak tetapi menyatakan keperluan kita” ujar Timbalan Presiden ketika diminta memberi pandangan.

Antara pengisian dalam bengkel tersebut adalah pembentangan daripada pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Encik Azari Nawawi Bin Samat (Penolong Setiausaha pengambilan bekerja). Perkara-perkara yang ditekankan adalah berkaitan dengan sistem pengambilan pekerja bagi golongan OKU di samping persediaan yang perlu dilakukan bagi pemohon OKU.

Di samping itu, ia juga ada menyatakan peluang yang kerajaan sediakan bagi golongan kurang upaya sepertimana yang ditegaskan dalam dasar kerajaan untuk memenuhi dasar 1% peluang pekerjaan.pekeliling perkhidmatan bil 10/1988 dan dipertingkatkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil 3/2008 yang berkuatkuasa pada 1 April 2008 bagi golongan OKU.

Antara pengisian lain dalam bengkel tersebut adalah berkaitan persiapan yang harus dilakukan oleh golongan OKU dalam menyediakan diri ke arah kerjaya. Antara isu kritikal yang dibangkitkan adalah persoalan kemudahan yang disediakan untuk golongan OKU, Kesesuaian OKU dengan pekerjaannya serta kemampuan golongan OKU tersebut dalam melaksanakan tugas. Selain itu, kebanyakan penceramah menekankan soal keperluan persedian mental yang kuat dan keberdayaan golongan OKU dalam menahan segala provokasi yang seringkali timbul dalam kerjaya.

Jutaan terima kasih pihak PMUKM ucapkan kepada penganjur yang sudi menjemput kami dalam memberi pendedahan berkaitan kerjaya OKU.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI