Oleh : Ahmad Muzzamil bin Muhd Hairi,
Presiden Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) Sesi 2010-2011
41 tahun lalu UKM ditubuhkan. Dan dalam sela masa yang berlalu, di usia kedewasaan dan kematangan telah memperlihatkan pelbagai perubahan yang dilaksanakan demi memenuhi tuntutan semasa. Selaku bangsa Timur, perubahan bakal membawa ironi yang tersendiri kerana kita sudah terbiasa untuk mengekalkan tradisi terdahulu. Namun demi atas dasar keperluan mengembangkan lagi pengupayaan ilmu , telah banyak perubahan yang dilakukan oleh UKM sejak awal penubuhannya 41 tahun dahulu.
Warga UKM Warga Harmoni
Pada hari ini, jumlah enrolmen mengikut rekod adalah seramai 28,403 orang dengan 10,198 daripadanya adalah pelajar pascasiswazah. Suatu bukti yang jelas akan keupayaan UKM menjadi sebuah universiti besar di mana masyarakat di luar sana ingin terus melihat, obor perjuangan yang dilhamkan berdekad-dekad dahulu terus memenuhi harapan mereka di bumi UKM.
Sesuai dengan motto Universiti, "Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan" UKM yang kini meniti usia 41 tahun, telah menghasilkan seramai 1,620 graduan PhD, 17,471 sarjana dan 119,892 graduan prasiswazah. Suatu angka yang sangat membanggakan buat kita warga UKM hari ini.
PMUKM merakamkan setinggi-tinggi tanda hormat dan penghargaan yang tidak dapat dinilai kepada para pelopor dan pejuang sepanjang merintis, menubuh, membina dan mengisi kelangsungan legasi UKM; juga yang telah bersara daripada perkhidmatan di Universiti mahupun yang telah berpulang ke Rahmatullah. Sesungguhnya, bukan sedikit pengorbanan mereka. Jasa bakti mereka amat tidak ternilai untuk dicatat di nota kecil ini semata-mata.
Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan
Juga mengikut rekod terkini, UKM kini memiliki dua orang Profesor Ulung, 253 Profesor, 20 Felo Utama, 421 Profesor Madya, 21 Felo Kanan, 474 Pensyarah Kanan, 644 Pensyarah, 146 Tutor, 101 Guru Bahasa dan 7,376 kakitangan pengurusan dan pentadbiran, yang sebenarnya menjadikan UKM keluarga besar yang memiliki bakat pengetahuan yang amat bertuah.
Dengan tidak kurang hebatnya Pelan Transformasi UKM yang telah diilhamkan pasukan pentadbiran Universiti yang diketuai ibunda Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, secara ringkasnya meletakkan hasrat kita menjadikan UKM menjadi ikon identiti dan negara bangsa, bergerak sederap seiringan dengan universiti-universiti kebangsaan lain di dunia.
Untuk makluman bersama, usaha tersebut telah memberi tumpuan kepada 8 nic penyelidikan yang strategik dan bersifat multidisplin dalam usaha mencapai hasrat murni tersebut. Kriteria pemilihan nic penyelidikan dibuat berasaskan kepada nic yang mampu menggembeling kekuatan dan menyatu padu pelbagai disiplin atau bidang yang sudah mantap atau bidang baru tetapi menjadi tujahan negara dan dunia.
Ayuh kita lihat pula pada lima (5) tonggak kecemerlangan institusi yang menjunjung motto “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan” UKM ini. Tonggak-tonggak tersebut adalah; (i) Governans berautonomi dan berakauntabiliti (ii) Kepemimpinan berkaliber melalui sistem pemilihan, pemupukan, penilaian dan pembaharuan (iii) Tenaga akademik berbudaya cemerlang dan bersikap profesional (iv) Sistem pengajaran dan pembelajaran menghasilkan siswazah yakin dan berkompetensi global dan (v) Penyelidikan dan inovasi menjana kekayaan dan kesejahteraan masyarakat. Kelima-lima tonggak kecemerlangan institusi ini yang menjadi teras Universiti kita harus hadam untuk digarap dengan baik sebelum ia mampu diangkat tinggi ke mata dunia.
Peranan UKM masa kini
Memetik kata-kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Syarahan Utama sempena ulang tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-41 di UKM Bangi di awal bulan yang lalu. "Universiti mempunyai peranan bukan sahaja melahirkan graduan yang cemerlang akademiknya, tetapi graduan yang berbakat untuk negara yang disediakan dengan segala kemahiran yang diperlukan dalam abad ke 21 ini, " maka di pihak Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) mengulangi sekali lagi intipati Ucapan Dasar Presiden PMUKM Sesi 2010-2011 semasa Majlis Penyampaian Watikah pada pertengahan bulan Mac yang lalu yang menyebut, "Mahasiswa sewajarnya berupaya untuk mengembangkan ilmu dan kemahiran bagi menangani tuntutan dan cabaran semasa dan bukan sekadar menggunakan ilmu untuk mengisi jawapan di dalam kertas peperiksaan. Perubahan deras yang berlaku dalam dunia sains dan teknologi beserta perubahan pesat dalam urusan keilmuan dan tuntutan masyarakat menggesa supaya UKM menghasilkan graduan yang bukan sahaja berketrampilan dan dinamis, malah mempunyai keluwesan dan kecerdasan intelektual, boleh berfikir secara kritis dan lateral, berwibawa dan berupaya menggunakan imaginasi dan kefahamannya apabila diperlukan."
Kita juga mengulangi saranan di dalam Ucapan Dasar Presiden tersebut untuk menekankan konsep 'pembelajaran sepanjang hayat' dalam usaha membantu Universiti melahirkan mahasiswa yang berdaya saing di peringkat global. Maka, agenda penghakupayaan mahasiswa dalam pelbagai bidang sangat penting untuk ditekankan dan dibahaskan untuk diimplimen di segenap peringkat khususnya semasa kita masih di dalam kampus.
PMUKM juga sentiasa menyokong usaha pembelajaran berpusatkan pelajar atau 'student centered learning' kerana kita percaya perkongsian ilmu itu seharusnya bukan bersifat sehala sahaja tetapi bersifat dua hala. Nilai keintelektualan mahasiswa tidak harus diukur melalui kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga merangkumi keupayaan mahasiswa tersebut mengaplikasikan ilmu yang dipelajarinya dalam kehidupan mereka.
Juga kita harus percaya bahawa kebebasan akademik menjadi salah satu faktor kepada peningkatan ranking universiti. Maka melalui konsep kebebasan akademik, mahasiswa akan diberi ruang untuk mengembangkan idea dan potensi mereka melalui wahana penyelidikan, pandangan yang bernas dan penulisan yang berkualiti. Dalam sudut ini, PMUKM memuji tindakan yang diambil pihak pentadbiran khususnya Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) yang mengemukakan 'Learning Contract' atau 'Sistem Kontrak Pembelajaran' yang berasaskan 'student-driven' yang mana mahasiswa bebas menentukan perjalanan ko-kurikulum yang hendak dilakukan.
PMUKM juga sentiasa menyokong usaha pembelajaran berpusatkan pelajar atau 'student centered learning' kerana kita percaya perkongsian ilmu itu seharusnya bukan bersifat sehala sahaja tetapi bersifat dua hala. Nilai keintelektualan mahasiswa tidak harus diukur melalui kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga merangkumi keupayaan mahasiswa tersebut mengaplikasikan ilmu yang dipelajarinya dalam kehidupan mereka.
Juga kita harus percaya bahawa kebebasan akademik menjadi salah satu faktor kepada peningkatan ranking universiti. Maka melalui konsep kebebasan akademik, mahasiswa akan diberi ruang untuk mengembangkan idea dan potensi mereka melalui wahana penyelidikan, pandangan yang bernas dan penulisan yang berkualiti. Dalam sudut ini, PMUKM memuji tindakan yang diambil pihak pentadbiran khususnya Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) yang mengemukakan 'Learning Contract' atau 'Sistem Kontrak Pembelajaran' yang berasaskan 'student-driven' yang mana mahasiswa bebas menentukan perjalanan ko-kurikulum yang hendak dilakukan.
Tanggungjawab Digalas
Dengan pelbagai penubuhan dan penghakupayaan pusat-pusat kecemerlangannya yang terdapat di dalam kampus UKM sendiri seperti Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Institut Kajian Oksidental (IKON), Institut Islam Hadhari (HADHARI), Institut Kajian Etnik (KITA), Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Pusat PERMATApintar dan Pusat Pemerkasaan Remaja (Perkasa), kita optimis banyak 'mata' akan melihat kepada UKM.
Maka sejajar dengan keupayaan dan kekuatan yang dimiliki Universiti, kita harus bersedia meraikan perdebatan semua idea dan pemikiran secara ilmiah dan terbuka. Ruang yang luas harus dipaparkan kepada idealisme positif untuk berkembang memandangkan komitmen mencari kebenaran sememangnya melandasi kewujudan sesebuah universiti. Suasana ini akan membentuk kecemerlangan di universiti dan ia hanya muncul seandainya dibudayakan dalam kampus dan didukung oleh semua pihak Insyallah.
Paduan Iman & Amal
Dalam pengamalan tersebut, UKM harus tidak lupa untuk mencari titik keseimbangan antara teori dengan amal, sains dengan sastera dan kesejahteraan rohani dengan kemajuan material sebagaimana yang ditekankan di dalam Falsafah Universiti yang tercipta bersama-sama penubuhan UKM 41 tahun dahulu.
Perlu diingat juga bahawa tanggungjawab universiti bukanlah semata-mata untuk memenuhi tuntutan keperluan tenaga mahir di pasaran sahaja, tetapi lebih penting dan besar daripada itu, ialah sebagai badan yang dapat membina pemikiran yang kritikal dan berwawasan. Dalam kata lain UKM perlu memimpin dan menawarkan gagasan, jalan dan cara bagaimana perubahan harus ditangani. Universiti seharusnya, pada ketika tertentu dan dalam isu-isu tertentu, dapat membantu masyarakat dan negara untuk membuat pilihan antara pelbagai alternatif berasaskan penyelidikan yang rapi dan meyakinkan.
Isu-isu asas yang masih menghambat kepada kemajuan dan pembangunan komuniti serta sosio-ekonomi negara seperti pembinaan negara bangsa, pembangunan teknologi & sains untuk komuniti, mengukuh warisan dan ketamadunan bangsa, dan mengukuhkan daya saing negara di samping matlamat asas Universiti untuk membangunkan sumber modal insan yang berilmu merupakan isu pokok yang masih memerlukan siri-siri penyelidikan yang mendalam.
Pendekatan penyelidikan yang bersifat multi-bidang untuk membawa hasilan penyelidikan yang boleh dimanfaatkan terus oleh masyarakat seharusnya menjadi agenda kritikal di dalam siri-siri penyelidikan universiti kita agar membawa pengetahuan, kepakaran dan kemahiran yang terdapat di universiti tanpa lengah untuk faedah rakyat bersama.
Juga memetik ucapan Datuk Seri Khaled tersebut bahawa 'penyelidikan bersifat fundamental boleh digembleng bersama penyelidik bersifat gunaan untuk kesejahteraan masyarakat di mana ahli akademik perlu mengubah set minda dari ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk masyarakat dan negara’. Apa yang penting, secar ringkasnya kedapatan ahli-ahli akademik yang ramai di dalam UKM untuk seberapa segera menjalankan penyelidikan untuk meneroka cabang-cabang ilmu, membina kepakaran dan meneraju kepimpinan intelektual di samping mengajar di dewan-dewan kuliah biasa kerana masih banyak ruang dalam penyelidikan yang boleh dikembangkan untuk manfaat masyarakat awam.
Peranan rakan mahasiswa
Di peringkat mahasiswa, PMUKM berhasrat untuk menggembleng tenaga mahasiswa dalam usaha menjayakan agenda-agenda Universiti yang sangat banyak dicadangkan khususnya di bawah Pelan Transformasi UKM. Apapun penggemblengan tenaga mahasiswa ini tidak lari dari tiga (3) tonggak utama yang disebut di dalam Ucapan Dasar Presiden dahulu iaitu (i) mahasiswa untuk mahasiswa, (ii) mahasiswa untuk masyarakat dan (iii) mahasiswa untuk negara dalam menjana kepimpinan berkaliber hari ini dan pengganti kepimpinan akan datang.
Apa yang penting, barisan kepimpinan PMUKM bersedia menjadi orang tengah dalam masa sama bersama-sama mahasiswa dan pihak pentadbiran Universiti dalam mewujudkan persefahaman yang utuh antara kedua belah pihak. Kita optimis, penggemblengan antara dua entiti utama di dalam universiti ini adalah resepi utama mencapai visi dan misi Universiti tercinta ini.
Penutup
Mengakhiri kalam, suka untuk saya mengulangi titah Baginda Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor yang antaranya menyebut bahawa, "UKM milik negara dan mesti mencerminkan hasrat negara. UKM mesti menjadi perintis bagi kerangka kewujudan yang selesa dengan misinya, komuniti dan kosmologinya serta mampu menjadi tarikan dunia. Di peringkat global, UKM mesti cemerlang namun tidak terasing dan tetap berakar umbi pada masyarakatnya. Akarnya terpasak di tanah airnya, jangkauannya menerjah ufuk persada dunia."
Semoga titah Baginda akan berbekas di sanubari kita dan menjadi pesanan yang akan kita pandu sepanjang perjalanan menjadi warga Universiti Kebangsaan Malaysia.