Berikut adalah kenyataan akhbar Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkaitan moratorium penawaran kursus baharu bidang perubatan di institusi pengajian tinggi:
- - - - - - - - - -- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -
BERDASARKAN kepada kadar pengeluaran graduan perubatan dari IPT sedia ada, negara akan berupaya mencapai sasaran seorang pegawai perubatan kepada 400 penduduk (1:400) menjelang tahun 2020 secara berperingkat tanpa perlu penambahan kursus perubatan baharu.
Apa yang lebih penting adalah satu bentuk kawalan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan bilangan graduan perubatan yang dihasilkan ini dapat menjalani latihan siswazah yang berkualiti supaya mereka menjadi doktor yang kompeten dan selamat untuk mengamal.
Sehubungan dengan itu, kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan moratorium ke atas penawaran kursus baharu bidang perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) selama lima tahun, mulai 1 Mei 2011 hingga 30 April 2016.
Pelaksanaan moratorium bagi penawaran kursus baharu perubatan di IPT perlu dilaksanakan segera berdasarkan kepada justifikasi-justifikasi seperti berikut:
(i)Peningkatan ketara bilangan graduan perubatan yang dikeluarkan oleh IPT;
(ii)Kompetensi pegawai perubatan siswazah (housemanship);
(iii) Isu tenaga pengajar; dan
(iv)Isu Hospital Pengajar (Teaching Hospital).
Selain itu, moratorium pengambilan baharu dicadangkan juga dikuat kuasakan kepada IPT yang tidak menepati kriteria dan piawaian akreditasi. Pengiktirafan sedia ada boleh ditarik balik sehingga penambahbaikan dilaksanakan.
Pelaksanaan moratorium ini tidak sama sekali menjejaskan bilangan pegawai perubatan yang diperlukan negara.
Ini kerana pengeluaran graduan perubatan dari 33 buah IPT sedia ada di samping graduan perubatan luar negara yang pulang ke Malaysia adalah memadai dan diyakini mampu menghasilkan jumlah doktor perubatan yang mencukupi menjelang tahun 2020 dengan nisbah seorang pegawai perubatan kepada 400 penduduk (1:400).
Sehingga 31 Januari 2011, terdapat sebanyak 33 buah IPT (11 IPTA dan 22 IPTS) yang menawarkan kursus pengajian perubatan peringkat sarjana muda. Walaupun bilangan IPT adalah 33, namun jumlah keseluruhan kursus perubatan adalah 47.
Ini kerana terdapat IPT yang menawarkan lebih daripada 1 program. Contohnya, kursus berkembar yang ditawarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Universiti Padjajaran (2006) dan Allianze University College of Medical Sciences; ACMS (2009).
Daripada jumlah keseluruhan 33 buah IPT, 17 buah IPT telah diberikan pengiktirafan, 8 daripadanya adalah IPT awam manakala selebihnya adalah IPT swasta.
SEKIAN
MOHAMED KHALED NORDIN
5 MEI 2011