Sumber: Blog MPP Aida Rahayu
Pada 7 Mei lalu, seramai 6 orang MPP UKM terdiri MPP Muslimah, Noraini, Noriah, Harith, Ikram dan saya sendiri bersama beberapa rakan MPP telah mengunjungi keluarga arwah Ratna Sufizah Riyanti , graduan UKM jurusan Sains Nuklear yang dilaporkan meninggal dunia pada 2 mei.
Perjalanan pada jam 10.30 malam dari kampus memakan masa selama 6 jam. Usai solat subuh di Masjid Pekan Pendang dan menjamu selera di rumah rakan MPP, saudara Hilmi Ramli, delegasi kami tiba di tanah perkuburan tempat arwah dikebumikan kira-kira pada jam 11.00 pagi.
Lafaz tahlil berakhir, keluarga arwah yang terdiri daripada abang, adik dan ibunya membawa kami ke rumah mereka tidak jauh dari kawasan perkuburan. Ibu tunggal tersebut sangat tabah dan sudi berkongsi cerita bersama MPP yang hadir. Menurut beliau, arwah Yanti (Ratna) sangat ceria, terpelihara akhlaknya, sepertimana yang diceritakan oleh rakan-rakan kelas dan rakan persatuan seperti saudari MPP Noriah dan Waliyuddin.
Daripada sesi perkongsian dari pihak keluarga arwah dapat disimpulkan bahawa media massa telah menimbulkan persepsi negatif terhadap arwah Ratna demi melariskan berita khususnya tentang perhubungan arwah dengan lelaki tersebut dan cara kematian.
“Saya sangat kesal dengan media massa kini yang menghebahkan berita yang tidak benar sehingga menimbulkan pelbagai persepsi terhadap arwah akibat penulisan yang ditokok tambah. Kita serahkan kepada pihak polis untuk selesaikan kes pembunuhan ini," ujar Muslimah.
Di akhir pertemuan, pihak MPP memberikan sedikit sumbangan buat keluarga arwah. Kata-kata perangsang dari MPP Muslimah dan MPP Harith sedikit sebanyak dapat memberikan motivasi kepada keluarga arwah.
PMUKM mengharapkan rakan-rakan mahasiswa terus berdoa supaya arwah ditempatkan bersama orang-orang soleh.
BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI