Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Mohd Ikhwan Hashim
Foto oleh Mohd Ikhwan Hashim
KUALA LUMPUR 20, April 2011 - Stres diperlukan manusia untuk berfungsi dalam kehidupan normal, namun stres berlebihan didapati boleh merosakkan kesihatan seseorang, kata Presiden Pusat-pusat Sains BioPerubatan Universiti-universiti di Britain.
Profesor Hardial S. Chowdrey yang juga anggota Majlis Kebangsaan Sains BioPerubatan Britain berkata demikian ketika membentang kertas kerjanya bertajuk Apakah kita perlu Stres untuk Hidup di Fakulti Sains Kesihatan UKM di sini hari ini.
Beliau telah memperincikan mekanisma stress sambil menerangkan kaedah di sebalik tindakan hormon apabila seseorang berdepan dengan situasi yang menyebabkannya tertekan kerana diserangi penyakit seperti rheumatoid arthritis dan murung.
Ujudnya tekanan akan memburukkan lagi penyakit itu hingga menambahkan lagi stress. Keadaan ini akan berulangan hingga boleh memburukkan keadaan.
Beliau menggariskan mekanisma molekul otak untuk mengawal hipotalamus pituitari adrenal (HPA). Ini adalah sistem tubuh yang akan bertindak apabila berdepan dengan sesuatu tekanan. Sistem HPA akan menganggap tekanan yang dialami sebagai suatu ancaman dari bahaya dan dengan itu akan mengaktifkan kelenjar adrenal yang melepaskan kortisol. Ini akan melepaskan hormon dan membuat seseorang bersedia untuk lari atau melawan ancaman.
Secara mudah tubuh manusia dicipta untuk bertindak balas terhadap sesuatu tekanan sama seperti tindakan yang perlu diambil untuk melindungi seseorang dari ancaman binatang buas. Walaupun ancaman tersebut jarang berlaku hari ini, tetapi tubuh manusia masih bertindak terhadap tekanan dengan cara yang sama.
Prof Chowdrey juga menerangkan peranan cortisal dalam mengawal keadaan patologis.
Ketika seseorang menghadapi pelbagai tuntutan setiap hari, seperti beban kerja yang banyak, memenuhi keperluan keluarga atau hanya mengharungi kesesakan lalu lintas. Tubuh seseorang akan melayan tekanan itu walau pun rendah tetapi masih dianggap sebagai ancaman dari binatang buas.
Perkara yang dihadapi seseorang itu mungkin kecil tetapi tubuh seseorang telah mengangganya sebagai suatu ancaman yang bahaya. Apabila faktor yang menyebabkan stress sudah tidak wujud sistem tubuh pengeluaran adrenalin dan cortisal akan turun dan ini membawanya kembali ke tahap keseimbangan.
Tetapi jika seseorang sering rasa tertekan kerana kehendak seharian pelbagai sistem kawalan hormon ini akan sentiasa aktif menyebakan seseorang itu berasa tertekan secara berterusan.
Jika seseorang itu tidak dapat mengawal stres yang sedia ada, potensinya untuk mengalami stress berterusan adalah agak tinggi
Namun Prof Chowdrey menegaskan bahawa walaupun terdapat kesan berbahaya daripada stres, tetapi ia masih diperlukan untuk hidup. Jenis stress yang diperlukan adalah dalam bentuk mengejar masa berbanding dengan tekanan menghadapi ancaman.
Antara contoh yang diberikan adalah, seorang penulis yang terpaksa menepati masa untuk menghantar kerjanya dan seorang doktor yang bergegas ke bilik kecemasan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.
Professor Madya Dr Nor Fadilah Binti Rejab Ketua Jabatan Biosains Perubatan, pensyarah dan pelajar dari Fakulti Sains Kesihatan turut hadir di majlis itu.