Selasa, Mei 10, 2011

Lawatan Kebajikan PMUKM ke Hospital Serdang


Lawatan kebajikan telah diadakan semalam bersama beberapa wakil Unit Kebajikan Pelajar (UKP) ke Hospotal Serdang untuk melawat seorang mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi iaitu Mohd Fahmi Mohd Zain. MPP yang turut serta dalam lawatan ini adalah MPP Mohamad Abdullah (Timbalan Presiden), Wan Ahmad Fahmi (Pengerusi Biro Kerohanian dan Pembangunan Insan), Izzuddin Pisol (Pengerusi Biro Kebajikan dan Aduan).

Saudara Mohd Fahmi Mohd Zain telah disyaki terkena virus kencing tikus (leptospirosis) selepas pulang dari berkelah di Sungai Gabai dan kini ditempatkan di wad ICU Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut. Sempena dengan lawatan ini, PMUKM telah menghulurkan sedikit sumbangan kepada beliau.  Pihak PMUKM juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UKP yang turut sama menyertai lawatan ini sekaligus menunjukkan keprihatinan mereka terhadap isu kebajikan pelajar UKM.

“Soal kebajikan merupakan intipati utama dalam pembawakan PMUKM bagi sesi kali, kita mengarahkan segala berkaitan dengan soal kebajikan pelajar di jadikan sebagai keutamaan PMUKM kali ini.”

 “Kami mendoakan Mohd Fahmi terlepas dari virus kencing tikus dan dapat meneruskan pengajian seperti biasa,” begitulah harapan MPP Izzudin yang juga merupakan Exco Kebajikan PMUKM.

Sebagai maklumat tambahan, penyakit Leptospirosis ini disebabkan oleh bakteria berbentuk spiral yang menyerang haiwan dan manusia. Penularan penyakit ini adalah melalui tikus, babi, sapi, kambing, kuda, anjing, serangga, burung, landak, kelawar dan tupai. Namun, kebiasaannya, penularannya adalah melalui air kencing tikus yang dibawa oleh air yang mengalir contohnya ketika musim banjir masuk ke dalam tubuh manusia melalui permukaan kulit yang terluka, selaput lendir mata dan hidung. Penyakit ini juga boleh merebak melalui makanan yang telah terinfeksi oleh kencing tikus lantas dimakan oleh manusia. Oleh itu, mahasiswa/i dinasihatkan berhati-hati dan sentiasa mengutamakan kebersihan kawasan kediaman dan persekitaran.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI