Bersempena Hari Ulangtahun ke-41 UKM semalam, krew blog PM-UKM sempat menemuramah beberapa orang MPP. Antaranya saudara Kamarul Hatem dari Fakulti Perubatan tahun 1. Beliau yang juga merupakan Timbalan Exco Biro Informasi & Penerangan PMUKM memaklumkan kepada kami bahawa beliau teruja dengan sambutan ke-41 UKM kali ini.
" Pada tahun lepas, saya masih belum (menjadi) warga UKM. Tetapi pada kali ini, biarpun sambutan 41 tahun UKM kali ini sudah berlangsung awal bulan ini, (tetapi) saya tetap merasai kehangatannya.
" Rangkaian sejarah UKM bagi saya ada signifikannya sendiri. Sejarahnya kalau kita kaji, (maka) kita akan teruja, bagaimana titik peluh orang terdahulu; hendak tegakkan sebuah universiti khas (bercorak) kebangsaan.
" Apa pun, saya mendoakan UKM akan terus kekal gemilang; kekal menghasilkan tenaga-tenaga kerja yang pakar untuk mengisi kemajuan negara hari ini, " ujar saudara Hatem.
Saudari Akma pula dari Fakulti Farmasi selaku ahli Biro Kebajikan & Aduan pula ketika ditemui sempat memetik ayat hikmah yang pernah diucapkan oleh Almarhum Dr Burhanuddin Helmi; "dari robohnya Kota Melaka, kita bina jiwa merdeka!"
" Saya selalu menjadikan kata-kata tersebut (sebagai) motivasi dan inspirasi kepada diri saya sendiri, (bahawa) tiada suatu yang mustahil untuk dilakukan (masa kini).
" Jika negara-negara luar berbangga dengan 'National University' masing-masing, (maka) apa kurangnya dengan UKM ?
" Siapa sangka hari ini kita mempunyai sebuah universiti yang menjadi rujukan negara-negara luar. Buktinya laman web (UKM) kita telah dilawati 3580 bandar daripada 182 buah negara mengikut kajian Google Analytics," komen panjang lebar saudari Akma.
" Di kesempatan ini, saya Nurul Akma binti Zulkifli ingin mengucapkan selamat menyambut hari ulang tahun ke-41 UKM. Semoga dengan usia ke-41 ini akan lebih memberikan motivasi buat kita semua warga UKM."
Krew PM-UKM sempat juga mendapatkan sedikit ulasan daripada MPP di UKM kampus induk di Bangi. Saudari Nur Azidah binti Mashan yang juga merupakan Bendahari Kehormat PMUKM sesi 2010-2011 ketika ditemui telah memberi ulasan, " Saya rasa sangat bertuah hari ini (kerana) menjadi warga UKM. Biarpun ketika hendak 'apply' masuk UPU (Unit Permohonan Universiti) dua tahun lalu, saya ragu-ragu untuk masuk UKM, tapi hari ini suka untuk saya katakan, saya rasa amat bertuah bergelar mahasiswa UKM.
" Hari ini, kalau hendak dibandingkan dengan universiti-universiti dan IPT-IPT lain sama ada di dalam atau luar negara, berani saya katakan bahawa tiada satu pun yang akan sama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia.
" Dengan latar belakang sejarahnya; juga sistem pembelajaran yang mengekalkan elemen kebangsaan menjadikan saya lebih menghargai diri saya dan UKM.
" Jika sebelum ini saya tidak kisah akan jati diri saya, tetapi hari ini saya sudah jauh berbeza. Lebih menghargai dan menghayati serta berpegang teguh identiti diri saya sendiri."
Saudara Abdul Musyrif pula yang juga merupakan Exco Siswazah & Pengantarabangsaan PMUKM pula ketika mengulas ulangtahun UKM mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk merenung kembali kisah di sebalik kejayaan-kejayaan yang dikecapi UKM hari ini.
" Hari ini kita dapat lihat UKM kini memang sudah terkenal di mata masyarakat. Namun harus diingatkan, kejayaan-kejayaan tersebut bukan tercipta dalam tempoh yang singkat. Perit jerih orang terdahulu, kalau boleh saya petik daripada lagu 'Varsiti Kita', " Inilah Varsiti Kita,Ditengahkan hasrat rakyat kita, Dari mula untuk semua, Bagai tanda perjuangan kita.." sangat-sangat memberi kesan kepada kita kalau kita hayati betul-betul.
" Juga diselitkan bersama untuk penghayatan kita bersama bait-bait kata berkenaan 'keyword' Falfasah UKM iaitu, " Paduan ilmu dan keimanan, Amal dan jerih digabungkan, Lautan ilmu kita harumkan, Sumber ilmuan berkembangan.."
" Maka di sini, saya mengambil kesempatan untuk menyeru kepada rakan-rakan untuk sama-sama kita 'menjaga' bersama UKM kita. 'Menjaga' ini dalam erti kata, kita sama-sama melakukan yang terbaik buat UKM kita ini. Jika perlu kita bergolok-bergadai, ayuh bersama-sama kita turun bergolok-bergadai. Jangan kita sia-siakan penat-jerih orang terdahulu, semata-mata kita menganggap UKM ini sekadar tempat kita mendapat 'degree' atau 'master' sahaja.
" Dan paling penting, selalu saya ingatkan kepada rakan-rakan, jangan 'lacuri' diri kita ini untuk nilai yang tidak seberapa, khususnya kita membuat masalah yang memburuk-burukkan nama varsiti kita ini, " ujar saudara Musyrif panjang lebar mengakhiri temubual.
Mengikut rekod jumlah enrolmen terkini di UKM adalah seramai 28,403 orang dengan 10,198 daripadanya adalah pelajar pascasiswazah. UKM kini memiliki dua orang Profesor Ulung, 253 Profesor, 20 Felo Utama, 421 Profesor Madya, 21 Felo Kanan, 474 Pensyarah Kanan, 644 Pensyarah, 146 Tutor, 101 Guru Bahasa dan 7,376 kakitangan pengurusan dan pentadbiran.
UKM juga selama 41 tahun ini telah melahirkan seramai 1,620 graduan PhD, 17,471 sarjana dan 119,892 graduan prasiswazah.
UKM juga selama 41 tahun ini telah melahirkan seramai 1,620 graduan PhD, 17,471 sarjana dan 119,892 graduan prasiswazah.