MPP UKM mengambil perhatian akan masalah pengangkutan bas semasa semester 3 ini yang telah dilaporkan oleh beberapa orang mahasiswa UKM. Menurut aduan yang diterima, katanya pengangkutan bas tidak berjalan seperti kebiasaan sepanjang semester pendek ini berlangsung sehingga menyebabkan pelajar terpaksa berjalan kaki dari fakulti ke kolej dalam jarak yang jauh. Malah, pihak MPP sendiri mendapati terdapat individu yang terpaksa menunggu dalam tempoh masa yang agak lama di hentian bas. Oleh itu, pada 5 Mei, hari khamis jam 4.00 petang yang lalu, MPP Fahmi telah mengambil tindakan pantas dengan bertemu wakil dari pihak Unit Kenderaan bagi menyalurkan aduan dan mendapatkan penjelasan.
Masalah ini timbul apabila mahasiswa melaporkan bahawa pada 5 Mei itu, didapati bas zon U tidak berjalan seperti biasa sedangkan bas yang disediakan iaitu bas zon 3 dan bas zon 6 pula tidak melalui kawasan dan kolej yang didiami ramai pelajar seperti kolej Ungku Omar, Rahim Kajai, Pusanika dan lain-lain.
Menurut keterangan yang diberi oleh Unit Kenderaan, bas zon U terpaksa dibatalkan perjalanannya berikutan aduan pemandu yang mengatakan tiada pelajar yang didapati menaiki kenderaan tersebut. Tambahnya lagi, bas zon U ini akan dimansuhkan sepanjang semester 3 ini berlangsung dan hanya bas zon 3 dan 6 sahaja yang akan disediakan. Walaubagaimanapun, para pelajar tidak perlu risau kerana menurut penjelasan beliau, disebabkan masalah yang berlaku ini, laluan bas zon 3 akan diubah sedikit dengan mengambil laluan bas zon 2. Pada semester biasa, bas zon 3 akan melalui masjid dari arah Fakulti Teknologi Sains Maklumat (FTSM), Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Pendidikan dan akan terus ke Kolej Keris Mas. Namun, pada semester pendek kali ini, bas zon 3 ini akan turut melalui laluan zon 2 iaitu dari arah FTSM, FKAB dan FPEND dan akan belok ke Kolej Burhanuddin Helmi, Ungku Omar dan melalui belakang Pusanika barulah ke Kolej Keris Mas. Manakala bas zon 6 akan melalui arah perjalanan seperti biasa iaitu melalui setiap kolej dan fakulti dan seterusnya ke stesen komuter UKM.
Diingatkan sekali lagi kepada seluruh mahasiswa/wi bahawa perubahan laluan bas ini hanya untuk sepanjang semester 3 ini dan akan kembali seperti biasa pada semester 1 akan datang. Pihak Unit Pengangkutan akan mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin agar perjalanan pelajar ke kuliah menjadi lancar. Bagi mana-mana mahasiswa/wi yang mengalami kesulitan pengangkutan bas lagi selepas ini bolehlah melaporkan kepada mana-mana MPP yang berdekatan untuk tindakan selanjutnya.
BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI