Selasa, Mei 17, 2011

Naib Canselor : Nilai Sebuah Universiti Lebih Daripada Petanda Pengukuran Penafarannya




PARIS, 16 Mei 2011 – Naib Canselor Prof Tan Sri Dato' Wira Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata Universiti Kebangsaan (UKM), bukan saja terbatas kepada melahirkan pemimpin, hasil penyelidikan dan sains yang diharapkan daripada sebuah universiti “bertaraf dunia” tetapi juga dalam membina negara dan menggalakkan bahasa Melayu sebagai satu bahasa saintifik, sesuai dengan mandatnya sebagai sebuah universiti kebangsaan.

Dalam suatu wawancara dengan sebuah penerbitan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Budaya, Bangsa-bangsa Bersatu), ‘Eduinfo’ edisi bulan ini atas tajuk penafaran universiti, beliau berkata penarafan bukanlah suatu ukuran nilai sebenar sesebuah universiti.

Penafaran sepatutnya menaksir impak sebuah universiti terhadap inovasi perniagaan, promosi sosio-budaya dan pembangunan persekitaran sesebuah rantau. Tetapi petanda-petanda ini masih belum dapat digubal dan dikemaskan.

Beliau berkata pihak yang membuat penafaran juga gagal mengambil kira keperluan mahasiswa yang mencari maklumat tertentu untuk menolong mereka memilih sesebuah institusi.

Nilai-nilai yang ditanam oleh universiti tidak diterjemahkan kepada petanda penarafan dan tidak boleh diukur dengan hanya nisbah kakitangan-pelajar.

Mutu pengajaran mesti diukur dengan pengalaman belajar mahasiswa, tambah beliau dalam wawancara yang diadakan sempena Forum Global UNESCO mengenai penafaran dan kebertanggungjawaban Pelajaran Tinggi di Paris yang bermula hari ini. Beliau akan membentang satu kertas kerja di forum dua hari itu.

Majalah itu menggambarkan beliau sebagai seorang penulis, aktivis sosial serta pejuang persamaan gender.

Berikut ialah wawancara itu sepenuhnya:

Di manakah keasyikan dengan taraf kedudukan bermula?
Pencetus penafaran universiti bermula berikutan dengan satu laporan Kerajaan British yang menyarankan agar diwujudkan aras tanda antarabangsa untuk mengukur kekuatan universiti-universiti British berbanding universiti-universiti Amerika. Proses itu kini diantarabangsakan. Bagaimanapun, tidak banyak petanda mutu dalam pendidikan tinggi digunakan dengan berkesan yang merentasi sempadan.

Bagi anda apakah ujian tulen sesebuah universiti?
Bolehlah saya katakan ia adalah bagaimana sebuah universiti secara berterusan membuat jangkaan dan memacu perubahan melalui inovasi yang mewujudkan nilai baru selain menawarkan pulangan sosial, persekitaran dan kewangan untuk universiti, negara dan rantau berkenaan.

Secara ideal, apakah seharusnya diukur oleh petanda?
Ia seharusnya menaksir impak sebuah universiti terhadap inovasi perniagaan, promosi sosio-budaya dan pembangunan persekitaran sesebuah rantau. Tetapi petanda-petanda ini masih belum digubal lagi dan diperkemaskan. Seperti Einstein pernah berkata, “Bukan semua yang diambil kira boleh diharapkan”. Bukan semua diperhitungkan, diambil kira.

Bagaimanakah ukuran penarafan dunia masakini dilaksanakan?
Cara-cara masakini menyediakan satu pandangan institusi berkenaan berdasarkan langkah mudah – dua data kualitatif (kajian semula majikan dan rakan setaraf) dipilih bersama-sama dengan empat data kualitatif untuk menggambarkan kekuatan dalam pengajaran, impak penyelidikan dan kedudukan antarabangsa.

Pengaruh paling besar diberikan oleh mereka dalam kedudukan paling baik untuk menilai para akademik. Akhirnya, satu angka tunggal diperoleh untuk memberi kedudukan sebuah institusi berbanding yang lain berkaitan aspek berbeza tahap mutunya.

Walaupun pelbagai kritikan dilemparkan terhadap mereka, penarafan universiti dunia dilihat sebagai aras tanda antarabangsa bagi membandingkan kekuatan institusi terlibat.

Haruskah penarafan digunakan untuk membantu memutuskan dasar pendidikan dan peruntukan sumber?
Ya, tetapi hanya jika penarafan digunakan untuk membantu memperuntukkan sumber-sumber bagi pembinaan keupayaan (sebagai contoh, menyediakan pembiayaan mencukupi untuk penyelidikan dan pembelajaran), atau untuk merangka dasar memberikan autonomi institusi lebih luas dan kebebasan akademik, atau untuk merangka semula pendidikan tinggi demi persaingan kebangsaan dalam ekonomi global. Dalam kes seumpama itu, penarafan menjadi alat bernilai untuk memacu kegemilangan.

Kerajaan Malaysia mengadakan satu Program Mempercepat Pencapaian Kegemilangan atau universiti APEX, sebagai tambahan kepada universiti giat-penyelidikan sedia ada. Ia bukanlah mencari sebuah universiti terkemuka tetapi sebuah yang mempunyai potensi dan kesediaan untuk mengubah dan menguruskan perubahan.

Adakah persepsi orang awam mengenai penarafan satu masalah?
Orang ramai mempunyai harapan yang tinggi dan mereka mahu keputusan segera daripada segi kenaikan penarafan. Mereka ini, terutama ahli politik, tidak memahami sifat penarafan dan menyamakannya dengan nilai sesebuah universiti. Ini sebenarnya menjadi masalah apabila anda cuba mengagak potensi untuk membuat sesuatu yang begitu kompleks dan memakan masa, tetapi menggunakan penarafan satu dimensi sebagai pengukur pencapaian. Lantas penurunan dalam penarafan ditafsirkan sebagai kemerosotan taraf dan pembaziran pelaburan dan pembangkang terutamanya, menganggap ini sebagai satu peluang untuk mengkecam kerajaan dan universiti.

Bolehkah penarafan digunakan untuk membuat keputusan siapa terbaik?
Tidak, tugas Universiti Kebangsaan (UKM), bukan saja terbatas kepada melahirkan pemimpin, hasil penyelidikan dan sains yang diharapkan daripada sebuah universiti “bertaraf dunia” tetapi juga dalam membina negara dan menggalakkan Melayu sebagai satu bahasa saintifik, sesuai dengan mandat kami sebagai sebuah unversiti kebangsaan.

Penarafan bukan satu ukuran nilai sebenar sesebuah universiti. Mereka gagal mengambil kira keperluan mahasiswa yang mencari maklumat tertentu untuk menolong mereka memilih sesebuah institusi. Begitu juga, nilai-nilai ditanam oleh universiti tidak diterjemahkan kepada petanda penarafan dan tidak boleh diukur dengan hanya nisbah kakitangan-pelajar. Mutu pengajaran mesti diukur dengan pengalaman belajar mahasiswa.

Apa pandangan anda mengenai pemilihan petanda?
Ini adalah perdebatan yang tidak akan berakhir. Mengapa bergantung kepada persepsi majikan ketika universiti kini menekankan bekerja sendiri sebagai ukuran kejayaan siswazah. Di samping itu, menggunakan pelajar antarabangsa sebagai satu petanda merugikan universiti di banyak negara membangun yang dijangka memenuhi permintaan tempatan yang tidak tercapai.

Terdapat pergantungan besar terhadap kajian semula kualitatif rakan dan tinjauan pengrekrut yang merupakan 50 peratus daripada pencapaian. Kita tahu bahawa perkiraan seperti itu dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti tradisi yang mungkin memberikan kelebihan kepada institusi lebih tua. Universiti bertaraf tinggi biasanya berusia kira-kira 200 tahun, mempunyai kira-kira 2,500 ahli akademik, hampir 24,000 pelajar, terlalu memilih lantas memikat dan mengekalkan kakitangan handalan, menerima bantuan kira-kira AS$1 bilion dan belanjawan tahunan AS$2 bilion.

Adakah anda bimbang mengenai kepentingan komersial dalam penarafan?
Ya terutama keinginan universiti “bermain dengan percaturan penarafan”. Baru-baru ini ‘pakar-pakar’ akademik yang digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan penarafan untuk kajian semula rakan dikesan dan ditawarkan “insentif” oleh institusi yang ghairah untuk menaikkan penarafan mereka.

Dalam meningkatkan usaha menaikkan taraf antarabangsa, sesetengah universiti mengambil kakitangan dan pelajar antarabangsa tanpa mempedulikan kelayakan mereka. Pendekatan seumpama ini bukan saja tidak berpandangan jauh dan tidak memberikan hasil dikehendaki untuk membina keupayaan institusi, tetapi mungkin menggugat usaha memupuk budaya akademik sebenar dan membahayakan misi universiti berkenaan.

Jadi, sebagai rumusan, anda masih yakin penarafan antarabangsa memberikan data berfaedah...
Ya – tetapi ia akan menjadi lebih berfaedah jika metodologi penarafan menilai universiti pada peringkat lebih mendalam lagi. Ini akan membolehkan perancangan terkehadapan untuk perubahan institusi bagi menjamin pembaikan yang tulen dan lestari dalam mutu universiti. Nilai harga sesebuah universiti adalah lebih tinggi daripada ukurtara digunakan dalam penarafan.

Diterjemahkan oleh Abdul Ghani Nasir