10 Februari 2014, UKM Bangi - Suatu pertemuan antara pihak Bendahari UKM, pengusaha kafe dan wakil PMUKM telah diadakan di Bilik Senat, Canselori mengenai penyelarasan harga makanan di kafe-kafe kolej, fakulti dan kawasan dalam kampus.
Dua isu dominan yang telah dikenal pasti adalah harga makanan dan kualiti serta tahap kebersihan makanan dan kawasan kafe. Semua pihak yang hadir telah dimaklumkan mengenai harga makanan yang tidak tetap dan sering berubah-ubah mengikut penjaga kaunter kafe. Pihak Bendahari juga mengambil serius isu kebersihan makanan dan kafe yang tiada kompromi dalam mengatasi kekurangan ini. Penegasan terhadap tahap kebersihan dan kualiti makanan telah diberikan melalui perancangan pelaksanaan gred B sekurang-kurangnya di setiap kafe.
Berikutan dengan itu, kami di pihak PMUKM mengusulkan beberapa cadangan bagi tindakan lanjut daripada pihak berkenaan. PMUKM memohon agar pemantauan tetap harga makanan dijalankan secara bersama antara Jabatan Bendahari dan wakil PMUKM. PMUKM juga meminta pemantauan secara serius terhadap tahap kebersihan dan kualiti makanan kafe dilakukan secara berkala oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Seterusnya, PMUKM mencadangkan penggunaan label harga pada setiap jenis makanan bagi memudahkan urusan jual beli antara warga kampus dan pengusaha kafe sebagai rujukan bersama. Ia merupakan satu langkah yang dilihat efektif bagi penyelarasan harga makanan yang boleh dilaksanakan secara konsisten.
Pertemuan lanjut antara pihak terlibat dan PMUKM akan diadakan dalam masa terdekat bagi meraih satu keputusan terhadap tindakan dan perubahan yang akan dilaksanakan. Atas persetujuan semua pengusaha kafe dan Bendahari UKM, PMUKM telah diamanahkan untuk mengkaji kaedah pembayaran harga makanan untuk dibentangkan pada mesyuarat seterusnya.
TINDAKAN
Meski pun persetujuan telah diperoleh dari setiap pengusaha kafe di UKM, kami di pihak PMUKM bersedia menerima sebarang maklum balas dari warga UKM mengenai penyelarasan harga makanan ini sekiranya didapati tidak bersesuaian.
Saya juga berharap agar cadangan PMUKM untuk pemantauan tetap harga makanan bersama pihak Universiti dapat diteruskan termasuklah pemantauan serius soal kebersihan dan kualiti makanan di kafe-kafe.
Nur Afifah binti Abd Rahim
MPP Umum Tahun 3/4
MPP Umum Tahun 3/4
Naib Yang Dipertua II PMUKM Sesi 13/14
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::