Jumaat, Februari 21, 2014

PBS : BARANG BAIK ?

             

21 Februari 2014, UKM Bangi  - Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ataupun scholl-based assessment (SBA) merupakan sistem yang telah digubal dan hampir keseluruhan negara menggunakan sistem sedemikian. Shanghai (China), Singapura, Malaysia merupakan antara negara yang menggunakan sistem ini. Di Malaysia, PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Sejujurnya sistem PBS yang digubal ini amat sempurna dalam menekankan aspek peningkatan pencapaian dan kualiti pelajar. Namun disebalik perlaksanaan sistem ini pelbagai isu yang timbul yang menyebabkan rakyat melenting dengan sistem tersebut. Apakah permasalahan sebenar yang berlaku? Mengapa barang baik dilemparkan rungutan yang dahsyat? Apakah mahasiswa atau guru sudah bersedia untuk melaksanakan PBS?

               Tidak dinafikan PBS mampu menilai prestasi pelajar dalam mengenalpasti kekuatan dan kelemahan mereka serta mampu mengembangkan sepenuhnya potensi mereka sebagai modal insan yang harmonis dan seimbang selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Disamping penilaian tersebut, situasi guru juga perlu diambil kira kerana pelaksana dasar ini adalah guru. Akibat inginkan hasil yang berkualiti tinggi tanpa memikirkan soal pekerja atau pelaksananya maka output yang di keluarkan tidak mencapai kualiti yang ditetapkan. Guru yang sememangnya dibebani dengan pelbagai tugas mendidik pelajar yang pelbagai tahap pemikirannya ditambahkan pula dengan PBS ini membuatkan perlaksanaan sistem ini membawa sedikit permasalahan.

              Jika meninjau dalam media massa kini, pelbagai permasalahan yang timbul akibat perlaksanaan PBS ini antaranya berkaitan dengan bebanan kepada guru ibarat memikul sebuah gunung di atas bahu. Pelbagai tugasan seperti membuat soalan, menilai, menyemak, memasukkan data, membuat laporan dan tugas-tugas lain bagi menjamin kualiti PBS tercapai perlu dilaksanakan. Unta juga ada had untuk membawa bebanan, inikan pula manusia yang kecil. Guru kini perlu mengawal sebuah kelas yang jumlah murid dalam lingkungan 30 orang. Mampukah guru membuat semua kerja diatas jika setiap hari perlu mentaksir 2 ke 3 kelas yang jumlah pelajar kira-kira 80 orang. Permasalahan ini ditambah lagi dengan dua aplikasi ICT yang dibangunkan iaitu SPPBS (Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah) dan PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum) bagi guru merekod, menyimpan dan melapor. Sistem yang boleh digunakan pada masa tertentu sahaja menyebabkan akses tersebut tergendala akibat serve kecil berbanding bilangan pengguna yang ramai. Hal ini membuatkan ramai guru yang melenting terhadap system yang perlu dilaksanakannya.

               Persoalannya disini, apakah buah yang kualiti tinggi dibiarkan tumbuh merata begitu sahaja? Teknologi canggih dicipta untuk membuat kajian persenyawaan tidak mampu menghasilkan output yang berkualiti melainkan adanya pekerja memantau buah dan teknologi tersebut. Mustahil untuk mendapatkan buah tersebut tanpa ada pekerjanya. Maka perlunya pekerja yang mempunyai kemahiran dan kemampuan untuk menghasilkan buah yang segar dan berkualti tinggi tersebut. Begitulah sistem pendidikan Negara diibaratkan. Jika hanya menggubal dasar tanpa memikirkan soal pekerjanya maka jadilah hasilnya seperti buah yang terbiar tanpa pemantauan pekerja atau petani. Menghairankan lagi adalah negara lain yang melaksanakan PBS/SBA ini seperti shanghai (China) dan Singapura mampu untuk berada ditangga teratas dalam penilaian Program for International Student Assessment (PISA) pada tahun 2012. Program ini yang dibuat setiap 3 tahun sekali menunjukkan bahawa negara timur ini mengungguli kedudukan teratas sejak tahun 2009 lagi. Oleh itu, perlunya sistem pendidikan kita pada hari ini dikaji segera kerana kualiti pelajar yang dihasilkan kini hanya bermain dengan pertukaran sistem semata tanpa mendasari pendidikan sebenarnya.


               Mahasiswa di angkat oleh masyarakat bilamana ideologi yang dibawa untuk mengubah masyarakat ke tahap yang lebih baik. Oleh itu, sebagai mahasiswa pendidikan yang sayangkan pendidikan Negara, cuba untuk membawa masyarakat pada hari ini supaya berfikir bersama dalam melihat kemaslahatan yang sedang menolak ke dalam perigi buta. Sejak dahulu lagi pelbagai seminar, forum, wacana, debat, diskusi hinggalah yang terbaru himpunan 222 diadakan bagi mengetengahkan isu pendidikan negara kepada masyarakat supaya diberi perhatian. Platform yang disediakan ini amat afektif kepada masyarakat untuk mengangambil bahagian supaya dapat membuka minda berkenaan kemaslahatan yang timbul. Terdapat pelbagai pendapat yang timbul berkenaan sistem pendidikan negara daripada tokoh pendidikan, kementerian, guru dan juga rakyat marhean   namun pencapaian sahaja yang mampu memberi hujah jelas bagi sesebuah negara melihat keberkesanan sistem tersebut. Oleh itu, dengan pencapaian yang kurang memberangsangkan menunjukkan jelas sistem ini mempunyai masalah dan perlu diatasi segera. Melihat kedudukan PISA yang dipelopori oleh negara sebelah timur iaitu Hong Kong, Shanghai, Jepun dan Singapura berbanding negara di Eropah maka perlu bagi Malaysia melihat pendekatan yang diambil negara tersebut bagi menangani bebanan guru yang berlebihan terhadap perlaksaan PBS secara efektif.



Syed Najib Bin Syed Yahya
MPP Fakulti Pendidikan
Biro Sukan dan Kebudayaan PMUKM Sesi 13/14
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::