Sabtu, Februari 08, 2014

PERJUANG USUL DEWAN MAHASISWA : MESYUARAT BERSAMA PAP



Pada 7 Februari 2014, UKM Bangi - Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) telah mengadakan satu mesyuarat khas bersama Pusat Akreditasi Pelajar (PAP) yang dihadiri oleh Timbalan Pengarah Penilaian dan Pengiktirafan PAP, Prof. Madya Sr. Dr. Adi Irfan Che Ani dan turut serta dua lagi pegawai yang bertindak secara langsung dalam sistem ini iaitu Puan Wan Mazlina Wan Mashhor selaku Pegawai Penyelidik Sosial dan Encik Abdul Qaiyum Borhan iaitu Penolong Pendaftar/Webmaster. 

Mesyuarat ini diadakan adalah berhubung dengan kursus yang sedang dijalankan iaitu Kursus Kemahiran Insaniah yang diambil oleh pelajar Tahun 1, iaitu satu sistem yang mana pelajar menentukan hasil pembelajaran yang hendak dicapai atau persetujuan bersama antara pelajar dan pensyarah. Penilaian akan dibuat oleh pensyarah penilai yang merupakan kakitangan akademik Ukm dalam sistem Ifolio. Lantaran daripada sistem yang baru diperkenalkan pada sesi akademik 2013/2014, pihak PMUKM telah menerima beberapa aduan daripada pelajar-pelajar semasa mengadakan sesi bersidang pertama di dalam Dewan Mahasiswa pada penghujung tahun 2013. 

Langkah pertama yang diadakan oleh PMUKM adalah dengan mengadakan survei ringkas kepada 100 pelajar tahun 1 sesi akademik 2013/2014 mengenai penilaian kursus kemahiran insaniah ini. Hasil survei tersebut, kami dapat membuat rumusan bahawa masalah sebenar adalah berpunca daripada kurangnya kerjasama dan interaksi antara pelajar dan pensyarah dan hal ini turut diperakui oleh pihak PAP. Selain itu, pelajar turut menyatakan bahawa cara pembuktian juga tidak diselaraskan dengan baik yang mana terdapat perbezaan cara pembuktian dalam kalangan pensyarah dan ini mengelirukan para pelajar. Masalah terakhir adalah pelajar-pelajar mahukan lebih daripada dua jam kredit untuk dihabiskan setiap semester. 

Dalam pada itu, kami di pihak PMUKM mengemukakan beberapa cadangan untuk menjadi solusi kepada beberapa isu ini. Secara dasarnya, pihak PAP perlu mengadakan lagi pendedahan dan juga penerangan yang lebih aktif kepada pelajar dan juga pensyarah. Selain itu, pihak PAP juga perlu menitikberatkan soal kriteria atau ciri-ciri tertentu yang ada pada pensyarah untuk dipilih sebagai penilai kursus ini. Justeru, kami berpendapat bahawa faktor usia dan juga masa sangatlah penting untuk dinilai dalam meletakkan seseorang pensyarah itu sebagai penilai. Bahkan juga, sistem HP yang dilihat sebagai penambahbaikan ke atas sistem LC ini perlulah diletakkan dalam tempoh tertentu untuk melihat keberkesanan objektifnya dengan meletakkan satu tempoh masa yang dijangkakan sistem ini telah mencapai satu tahap kematangan untuk dinilai semula sebelum merombak kepada sistem baru agar para pelajar dan juga penilai mempunyai masa untuk beradaptasi dengan sistem tersebut. 

Justeru, pihak PAP menyambut baik cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh PMUKM dan dari pihak kami sendiri, kami akan membantu PAP untuk turun bersama memberi penerangan kepada para pelajar. Untuk makluman pelajar-pelajar juga, pihak PAP telah mengadakan mesyuarat bersama felo-felo fakulti yang mengendalikan sistem HP dan akan mengadakan bengkel dengan para pensyarah penilai untuk menyelesaikan isu yang timbul. Mesyuarat dan bengkel tersebut tersebut dijangka akan bermula pada 11 Februari 2014. 




Fatin Zulaika Binti Hamdan
MPP Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Tahun 3/4
Biro Pembangunan Mahasiswa PMUKM Sesi 13/14

::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::