Khamis, Mac 24, 2011

Newsportal : Pakar Mata UKM Terpilih ke Sidang Pemenang Nobel di Jerman

RABU, 23 MAC 2011 15:21
CetakPDF
Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman



BANGI, 23 Mac 2011 – Pengkhususan Dr Izzussin bin Hairol dalam bidang optometri suatu cabang visual psikofizik atau dipanggil special vision dan crowding telah membawa tuah kepadanya.


Pakar mata berumur 28 tahun itu yang juga pensyarah di Jabatan Optometri Fakulti Sains Bersekutu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah terpilih mewakili Malaysia untuk menghadiri Persidangan ke 61 Nobel Laureate di Landau, Jerman pada bulan Jun depan.

Persidangan selama seminggu bermula dari 26hb Jun itu akan menghimpunkan seramai 20 orang pemenang Hadiah Nobel yang juga pakar terkemuka fisiologi dan perubatan dan 550 orang penyeldik muda dari seluruh dunia.

Dr Izzuddin berkelulusan PhD (Optometri) dari Anglia Ruskin University pada 2010 selepas lulus ijazah sarjana muda dari UKM pada 2005. Thesis sarjana muda beliau yang mendapat kelas satu itu bertajuk “Prestasi persepsi tiga dimensi pesakit lemah konvergens”.

Beliau beruntung kerana diterima masuk ke pengajian peringkat PhD tanpa perlu mengambil ijazah sarjana dan telah pula lulus dengan cemerlang mendapatkan ijazah kedoktorannya.

Namun bukanlah mudah bagi Dr Izzuddin untuk terus terpilih untuk menghadiri persidangan itu kerana beliau perlu menyediakan hasil kajian dan penyelidikan terbarunya untuk dinilai oleh panel khas dari Akademi Sains Malaysia (ASM).

Mulanya seramai 17 orang saintis muda negara dari pelbagai bidang dan kepakaran telah disinarai untuk pemilihan. Mereka ditemuduga oleh penal ASM yang memilih lima orang untuk peringkat pemilihan terakhir dan Dr Izzuddin kemudiannya terpilih dari mereka itu.

Dr Izzuddin berpendapat mungkin dua kertas kerja yang diserahkannya kepada penal itu yang membolehkannya dipilih.

Saintis muda itu akan terlibat dalam perbincangan, persembahan dan syarahan selain seminar dalam perjumpaan selama seminggu dengan pemenang-pemenang Hadiah Nobel yang hadir.

Topik saintifik terkini dan perkembangan meliputi segenap aspek bidang akan dibincangkan diselangi dengan program sosial yang juga menjadi inti pertemuan.

Mengenai bidang rawatan pengkhususan beliau, Dr Izzuddin menjelaskan: “Apabila kita tengok sesatu huruf, kalau huruf itu ada satu sahaja, kita senang nak tengok dan kenal. Tetapi apabila terdapat huruf itu yang banyak, dia jadi lagi susah nak kenal hurufnya.

“Jadi kenapa kita lagi susah bila ada banyak huruf? Maknanya kita nak tahu macam mana benda-benda yang berlainan dekat carta misalnya, macam mana dia diproses dalam otak kita.’’

Sebagai pakar muda Dr Izzuddin berharap untuk mengukuhkan kedudukan dan menambah pengalaman serta meluaskan bidang pengkhususan berkenaan.

Beliau berharap untuk menyediakan kemudahan pembedahan dan rawatan diperlukan bagi bidang berkenaan selain melatih lebih ramai pakar mata yang berkaitan.