Sabtu, Mac 26, 2011

Bersikap rasional di sebalik tragedi nuklear di Jepun

Sumber : Berita Harian 

MAJLIS Perwakilan Mahasiswa UKM menyeru semua pihak bersikap rasional dan matang dalam memahami dan menangani isu kemalangan reaktor di Jepun.

Masyarakat sepatutnya lebih matang dalam hal ini kerana kekalutan dan kekeliruan maklumat yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab harus ditangani dengan cermat supaya tidak menimbulkan polemik kepada semua.

Kemalangan di Kompleks Reaktor Fukushima Daiichi di Jepun, bukanlah letupan daripada tindak balas nuklear, tetapi berpunca daripada tindak balas kimia gas hidrogen dengan oksigen.

Teras (core) reaktor tidak mengalami kebocoran dan masih stabil. Tidak timbul isu kemalangan ini bakal mengulangi peristiwa Chernobyl pada 1986.

Kesan itu juga tidak akan merebak ke Malaysia. Sehingga hari ini, pengesan keradioaktifan di stesen terpilih di negara kita menunjukkan bacaan normal. Pada peringkat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kemalangan ini berada pada tahap 4 (paling tinggi 7) iaitu kemalangan yang memberi ‘kesan pada peringkat tempatan’ (accident with local consequences)”

Berkaitan dengan kesan radiasi, bacaan tertinggi dicatatkan dalam reaktor, tetapi tahap itu akan menurun ke tahap yang secara relatif masih selamat di luar reaktor. Cuma sebagai langkah berjaga-jaga, dengan memindahkan orang awam ke tempat lebih selamat.

Pengamal media dan pemimpin negara perlu berhati-hati dan mengkaji dalam menyampaikan maklumat dan memberikan pandangan.

Media bertanggungjawab menunaikan tuntutan mereka mendidik rakyat mengenai keadaan sebenar. Pemimpin negara harus berilmu berpengetahuan dalam menyampaikan pandangan. Agak memalukan sekiranya penerangan yang diberikan tersasar dan bercanggah dengan fakta.

Pakar berkaitan dengan perkara ini, terutama daripada Jabatan Sains Nuklear UKM, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) diberikan peluang seluas-luasnya semua pihak untuk memberikan pandangan dan nasihat menerusi media cetak mahupun elektronik secara sihat dan matang.


MOHD ARIF BIN MISROL
Speaker Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM
Pelajar Sarjana Keselamatan Sinaran dan Nuklear UKM