Kredit : Blog GM-KL
Alhamdulillah, semalam pada 13 Mac 2011, MPM Fakulti Farmasi, Nurul Akma Zulkiefli dan MPM Fakulti Perubatan, Kamarul Hatem Muhammad telah selesai mengadakan lawatan ke HUKM untuk melawat saudari Nurul Shafiqah Awang, siswi tahun 1 jurusan Pemakanan FSKB.
Saudari Shafiqah telah dimasukkan ke hospital kerana didiagnos menghidap intrathoracic cystic hygroma sejak 11 Februari yang lepas. Menurut ibunya, Shafiqah telah menghidap penyakit ini sejak berusia tiga bulan lagi.
Kami tiba di wad 5-8 PPUKM pada pukul 4.30 petang. Terdapat beberapa orang mahasiswa dari fakulti lain seperti Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu yang turut hadir semalam.
Shafiqah telah menjalani sebanyak dua kali pembedahan dan kini beliau memerlukan RM 5000 untuk menampung kos kedua-dua pembedahan tersebut. Alhamdulillah, kami telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM 1000 hasil sumbangan para mahasiswa di UKM. Pembedahan pertama dilakukan pada 14 Februari 2011 manakala pembedahan kedua adalah pada 28 Februari 2011.
InsyaAllah, saudari Shafiqah akan dibenarkan keluar pada hari ini, 14 Mac 2011 dan akan terus pulang ke Kuantan. Setelah berbual dengan beliau, beliau mengatakan bahawa kemungkinan untuk menangguhkan pengajian adalah tinggi.
Menceritakan pengalaman sepanjang berada di hospital, pengalaman berada di wad ICU merupakan pengalaman yang tidak dapt dilupakan. Beliau hanya mampu berserah kepada Allah sepenuhnya. Namun begitu, saudari Shafiqah masih mampu tersenyum dan ketawa walaupun dilanda pelbagai ujian.
Sesungguhnya, beliau merupakan seorang yang cekal dan tabah. Semoga saudari Shafiqah akan terus tabah untuk menghadapi ujian dari-Nya. Kami mahasiswa UKM akan terus berdoa untuk kesejahteraan Shafiqah.
-Nurul Akma Zulkiefli, MPM Fakulti Farmasi-